KUCHING, 12 FEBRUARI 2022 (SNN): Sarawak dan Sabah mencipta sejarah apabila sebahagian daripada tuntutan ke atas hak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dikembalikan, berkuatkuasa hari ini.
Ia susulan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMahrum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memperkenankan pewartaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] berdasarkan seksyen 1(2) Akta A1642.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta tersebut merangkumi pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan.
“Akta ini adalah adalah amat signifikan dan merupakan satu khabar gembira yang ditunggu-tunggu oleh rakyat bagi menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara yang tersurat dan tersirat dalam MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pemakluman Tarikh Kuat Kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 di sini, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 19 Januari 2022 dan diwartakan sebagai akta pindaan iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta 1642) pada 25 Januari lalu.
Katanya, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi pindaan Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 dengan sokongan dua pertiga majoriti (199 ahli) dan Dewan Negara dengan sokongan 49 ahli pada 23 Disember 2021.
Sementara itu kata Wan Junaidi, pindaan kepada fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak adalah seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri.
Justeru itu katanya, melalui pindaan itu definisi ras asli di Sarawak tidak lagi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan boleh ditentukan sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melului perundangan Sarawak sendiri.
“Menerusi pengiktirafan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan setaraf Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957, kerajaan kini boleh merujuk kepada semua perkara secara terperinci dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Ia merupakan kajian mendalam Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak,” jelasnya.-BERNAMA.