KUCHING, 10 DISEMBER 2024: Penggunaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam sektor pembinaan diperlukan bagi mendirikan bangunan lebih mampan dengan bahan berkualiti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan secara peribadi sokongan terhadap penggunaan teknologi tersebut sambil menambah BIM merupakan teknologi berasaskan 3D yang membolehkan simulasi pembinaan bangunan dengan data lebih terperinci.
Menurut beliau lagi, BIM memiliki kelebihan dalam merancang rumah yang boleh menjimatkan tenaga melalui penempatan bahan dan reka bentuk teliti dengan pengukuran, jenis bahan binaan, faktor bebanan dan sebagainya.
“Semua ini disimpan dalam satu platform data, menjadikan bangunan lebih mampan dengan bahan yang berkualiti,” katanya pada Majlis Makan Malam JKR Sarawak 2024 pada Isnin.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mencadangkan penggunaan bahan inovatif dalam pembinaan, termasuk dinding yang berfungsi sebagai panel solar.
“Minggu lalu, ada cadangan untuk membina bangunan kerajaan. Saya mencadangkan mereka mensimulasikan bahan, termasuk dinding menggunakan panel solar ringan kelihatan seperti dinding biasa.
“Ini boleh menjimatkan tenaga dan menghasilkan tenaga sendiri,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis sama, beliau menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bertujuan memperkukuhkan kolaborasi dalam pembangunan digital di negeri ini.
Turut hadir sama Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak; Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak; Datuk Ir. Aidel Lariwoo; Setiausaha Tetap (MIPD); Datu Chiew Chee Yau; Pengarah JKR Sarawak; Ir. Dr. Cassidy Morris-UKAS