KUCHING, 22 OGOS 2024: Sarawak merancang untuk menghidupkan semula Sukan Borneo atau Borneo Games selepas kali terakhir dianjurkan pada 2009.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata beliau akan mengusulkan mengenai perkara tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Katanya, sukan dwitahunan itu merupakan platform terbaik dalam mengukuhkan hubungan Malaysia bersama negara-negara dalam Kepulauan Borneo iaitu Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Selain itu ujarnya, ia mampu menjadi medan terbaik kepada atlet Sarawak dan negara untuk bersaing di pentas antarabangsa.
“InsyaAllah, saya akan mengusulkan idea ini kepada rakan-rakan kita. Dan saya yakin ini adalah satu platform untuk kita melatih atlet sukan untuk ke persada antarabangsa dan untuk pertamanya kita akan berbincang dengan rakan-rakan negara lain samada kita boleh menganjurkan Borneo Games.
“Tidak apalah, Sarawak akan cuba menjadi penaja penganjuran pertama Borneo Games yang dihidupkan semula ini,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Makan Malam SUKMA XXI 2024 di Pusat Persidangan Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Untuk rekod, kali terakhir Sukan Borneo dianjurkan adalah pada 2009 di mana Brunei Darussalam menjadi tuan rumah.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata Sarawak bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah bersama penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA) pada 2027 kelak.
Menurutnya, Sarawak tidak kisah menyumbang dana demi untuk pembangunan sukan negara selain untuk mengukuhkan perpaduan rakyat.
“Apa Sarawak nak cuba sumbangkan adalah untuk menyatupadukan rakyat di negara ini hingga ke negara jiran lain. Dengan itu, tidak ada selisih faham di antara kita,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, SUKMA kali ini cukup signifikan di mana Sarawak berpeluang mengetengahkan kehebatan teknologi digital iaitu penggunaan dron dalam majlis perasmian pembukaan temasya itu baru-baru ini.
Turut hadir sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Yang di-Pertua Dewan Negara; Dato’ Awang Bemee bin Awang Ali Basah, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak; Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia dan Sukan; Hannah Yeoh Tseow Suan, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan; Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak; Datu Hii Chang Kee, dif-dif kenamaan lain serta wakil-wakil kontinjen yang bertanding pada SUKMA Ke-21-UKAS