MIRI, 01 DISEMBER 2024: Kerajaan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan melaksanakan projek pembekalan gas memasak melalui saluran paip gas di seluruh negeri, menggantikan penggunaan tong gas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, berkata pemasangan saluran gas ini akan dilakukan di rumah-rumah, namun memerlukan dana yang besar untuk merealisasikan projek tersebut.
“Macam di sini pemasangannya ditanggung oleh PETROS, dengan pendapatan yang bertambah nanti kita akan adakan pemasangan tersebut di rumah kita dan sekali gus turut meringkan beban rakyat kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak Projek Paip Gas Perumahan Quadruplex Taman Ceria (QTC) Miri Sarawak pada Sabtu.
Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, pemasangan paip gas ini nantinya turut dicadangkan untuk perniagaan untuk memudahkan lagi rakyat meningkatkan ekonomi mereka.
“Jadi itu adalah cara baru, mudah-mudahan ia akan tercapai untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju walaupun kita terpaksa menelan kos yang sangat besar,”jelasnya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.