STOCKHOLM, 22 OGOS 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak berada di landasan yang tepat dengan memilih model amalan terbaik institusi Ombudsman Sweden sebagai model tadbir urus negeri yang baik.
Memetik laporan UKAS, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha tersebut penting ke arah menubuhkan Ombudsman Sarawak sebagai jentera kerajaan negeri sekaligus memastikan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.
“Seperti yang kita sedia maklum, institusi Ombudsman di Sweden adalah antara yang tertua di dunia iaitu sejak tahun 1809, maka model Ombudsman Sweden sebagai Ombudsman pertama dan tertua di dunia akan menjadi tempat rujukan terbaik.
“Jadi, saya amat yakin kerajaan Sarawak tidak akan silap memilih sekiranya mengikut amalan terbaik seperti institusi Ombudsman Sweden,” katanya semasa mengetuai rombongan kerajaan Sarawak dalam sesi taklimat bersama Ketua Ombudsman Parlimen Sweden Erik Nymansson dan Penasihat Undang-undang Kanan, Pengarah Penyelaras Antarabangsa Parlimen Sweden, Charlotte De Geer Fallman di Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden pada Isnin.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menegaskan, kerajaan negeri akan melakukan pengubahsuaian dan penyesuaian untuk memenuhi keperluan sistem, budaya dan amalan tempatan.
Menurutnya, ini adalah seiring dengan hasrat Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Justeru, kerajaan negeri yakin aspirasi ini harus dilengkapkan dengan amalan terbaik ketelusan, tadbir urus yang baik dan integriti dalam agensinya.
“Ini kerana institusi Ombudsman adalah penting dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat yang pada masa sama menggalakkan tadbir urus yang baik dan berkesan,” jelasnya.
Mengulas mengenai lawatan penanda aras itu, Premier Sarawak memberitahu, secara ringkasnya, lawatan penandaarasan ini pada asasnya adalahh untuk mengkaji, memahami dan menanda aras struktur pentadbiran dan tadbir urus Ombudsman di Sweden.
“Lawatan penanda aras itu juga untuk mendapatkan input undang-undang dan prosedur untuk Ordinan Ombudsman negeri ini.
“Pada masa sama, menerusi lawatan penanda aras ini kita dapat mempelajari bagaimana Ombudsman memainkan peranannya dengan berkesan,” ujarnya lagi.
Mengiringi Premier Sarawak dalam lawatan penanda aras ke Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden ialah Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke Sweden; Hafizah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman); Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan); Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Persekutuan Sarawak; Ahmad Nazri Mohd Hassan, Peguam Besar Negeri Sarawak; Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak; Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak; Datu Saferi Ali dan Pengarah Unit Integriti Dan Ombudsman Sarawak; Semawi Mohamad.-UKAS