NORWAY, 07 MAC 2025: Lawatan kerja delegasi Kerajaan Sarawak ke Oslo dan Bergen di Norway baru-baru ini membuka peluang untuk mempelajari pendekatan terbaik dalam perancangan bandar di kawasan tanah tinggi serta memperkukuhkan kerjasama dalam bidang tenaga hijau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, fokus utama lawatan itu adalah untuk meneliti kaedah perancangan bandar di kawasan berbukit dan pedalaman dengan mengambil kira faktor sejarah, warisan budaya, serta topografi dalam usaha memperhalusi dan menambah baik pelan induk bagi Pekan Kapit.
“Lawatan ini juga memberi peluang besar untuk kita belajar daripada Norway dalam aspek perancangan bandar di kawasan tanah tinggi serta pembangunan tenaga hijau dimana kita mahu memastikan perancangan di Sarawak bukan sahaja berfungsi dengan baik, tetapi juga lestari, selamat, dan mengekalkan identiti serta warisan kita.
“Selain itu, kita melihat potensi kerjasama ekonomi yang lebih erat, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan bioenergi,” katanya selepas ditembubual pemberita semasa mengadakan Lawatan Kerja Rasmi di Norway baru-baru ini.
Di samping itu Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu menambah, delegasi turut membincangkan cabaran utama dalam pembangunan bandar, termasuk usaha mengekalkan identiti dan warisan sambil menyesuaikan diri dengan keperluan pembangunan moden.
“Bergen, yang merupakan pusat industri minyak dan gas di Norway, menjadi lokasi penting dalam memahami strategi pembangunan lestari, terutama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik dan bioenergi,” ujarnya lagi.
Menurut beliau lagi, delegasi juga berkesempatan melawat Energy Park yang dibangunkan oleh CCB, di mana mereka mendapat gambaran menyeluruh mengenai pengurusan taman tenaga tersebut.
Perbincangan turut meliputi peluang kerjasama antara Malaysia, khususnya Sarawak, dengan Norway dalam bidang ekonomi dan tenaga hijau termasuk teknologi hidrogen-UKAS