More
    Home Dunia Sarawak meterai kerjasama dengan Masdar, Gentari teroka Projek Solar Terapung di Murum

    Sarawak meterai kerjasama dengan Masdar, Gentari teroka Projek Solar Terapung di Murum

    ABU DHABI, 06 NOVEMBER 2024: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) memeterai Perjanjian Kajian Bersama Trilateral Malaysia dengan Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) Masdar dan syarikat tenaga bersih, Gentari untuk meneroka potensi bagi melaksanakan projek solar terapung di Empangan Murum.

    Di bawah kolaborasi strategik tersebut, ketiga-tiga pihak akan melakukan kajian bersama selama 12 bulan bagi membangunkan projek tersebut dengan sasaran penjanaan tenaga solar hingga 1 gigawatt (GW).

    Pemeteraian perjanjian tersebut diadakan di Bandar Masdar, Abu Dhabi pada Selasa di mana SEB telah diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Sharbini Suhaili, manakala Masdar dan Gentari masing-masing diwakili CEO syarikat, Mohamed Jameel Al Ramahi dan Sushil Purohit.

    Premier Sarawak; Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan deligasi Kerajaan Sarawak menyaksikan sesi pemeteraian MoU antara SEB dan Masdar, Gentari

    Bercakap dalam sidang media, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, projek mega tersebut dijangka akan menambahkan lagi pengeluaran tenaga boleh diperbaharui kepada Sarawak.

    “Ini adalah satu pelaburan yang agak tinggi yang dapat menambahkan lagi pengeluaran tenaga boleh diperbaharui kepada Negeri Sarawak.

    “Bukan itu saja, kemungkinan kerjasama ini dapat membolehkan kita melihat projek-projek yang lain yang boleh kita bangunkan di Sarawak melalui kerjasama ekonomi di antara Abu Dhabi dan Sarawak,” katanya.

    Premier Sarawak menambah, jika projek tersebut berjaya, ia akan menjadi kawasan pertama di dunia yang mengeluarkan hingga 1GW tenaga daripada solar terapung.

    Jelas beliau, selari dengan pembangunan tenaga hijau Sarawak, projek tersebut akan merealisasikan sasaran Sarawak untuk mengeluarkan 10GW tenaga pada tahun 2030.

    “Kalau ini berlaku, bermaknanya kita boleh menjanakan tenaga ini yang boleh kita kongsikan kepada rakan jiran kita. Bermakna satu ‘interconnection exercise’ yang akan menjurus kepada Asian Grid.

    “Apa yang kita lihat di Abu Dhabi ini dengan rakan kongsi kita, kemungkinan besar kita boleh laksanakan lebih dari apa yang kita rancangkan,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, Datuk Sharbini dalam sidang media sama berkata SEB telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Masdar untuk melaksanakan projek tersebut semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai pada 2023.

    Beliau berharap, selepas kajian selama 12 bulan, projek tersebut dapat dilaksanakan untuk membolehkan tenaga solar yang dijana disambung ke grid.

    “Kita telah mengenalpasti beberapa kawasan untuk meletakkan solar terapung, empat kawasan sebenarnya dan itu nantinya mampu menjana 600 megawatt hingga 1000 megawatt tenaga solar,” katanya.

    Terdahulu, Premier Sarawak bersama delegasi Kerajaan Sarawak dibawa melawat Bandar Masdar, bandar bebas karbon dan hab teknologi terkemuka di Abu Dhabi.

    Turut serta ialah Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEB; Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS); Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC); Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...