More
    Home Sarawak Kuching Sarawak menjadi rantau ASEAN pertama dipilih sebagai tuan rumah Kongres & Pameran...

    Sarawak menjadi rantau ASEAN pertama dipilih sebagai tuan rumah Kongres & Pameran Air Kebangsaan 2028

    KUCHING, 17 SEPTEMBER 2023 (SNN): Satu lagi detik bersejarah terlakar buat Sarawak dengan Kuching menjadi destinasi pertama di rantau ASEAN yang dipilih sebagai tuan rumah bagi Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa pada tahun 2028 kelak.

    Perkara tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam ucapannya semasa Sambutan Hari Malaysia 2023 di Stadium Perpaduan pada Sabtu.

    “Sesungguhnya perkara ini merupakan satu lagi peristiwa penting terutamanya semasa Sambutan Hari Malaysia Ke-60 yang boleh dibanggakan oleh oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

    Bertemakan ‘Kemampanan dan Daya Tahan Air’ atau ‘Sustainability and Innovation for Water Resillience’, acara itu dijangka akan menarik 10,000 peserta dari 80 negara sekali gus menjana hasil dan warisan ekonomi yang akan memberi impak kepada pihak berkepentingan global, golongan profesional serta penggubal dasar dalam industri air.

    Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi dalam satu kenyataan media memaklumkan, penganjuran acara berkenaan adalah tepat pada masanya memandangkan sektor air Sarawak sedang mengalami perubahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar dalam menyediakan bekalan air yang mencukupi, boleh dipercayai, berkualiti, cekap, berpatutan dan selamat di seluruh Sarawak.

    “Dengan memberi tumpuan kepada kemampanan dan inovasi untuk daya tahan air, kongres ini akan membantu ke arah mempercepatkan pembangunan inovasi untuk menangani perubahan iklim yang memberi kesan kepada sumber air khususnya di rantau ASEAN.

    “Ia juga akan membuka pintu kepada pemain industri antarabangsa selari dengan pergerakan global untuk kelestarian alam sekitar demi kebaikan masyarakat global,” tambahnya.

    Pembentangan bidaan Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa telah dilakukan di Bordeaux, Perancis pada 14 September lepas oleh kumpulan yang merangkumi Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Dr Ir Ts Mohmad Asari Daud, Pengerusi MWA Cawangan Sarawak Ts Kelvin Kuek dan Ahli Majlis MWA Dr Norhayati Abdullah.

    Delegasi bidaan pula diketuai oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersama rombongan MWA serta disokong Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Business Events Sarawak, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia serta pelbagai pemain industri air yang lain.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Isu hakisan tanah yang serius di Kpg Melango jejas keselamatan penghuni...

    0
    KUCHING, 16 NOVEMBER 2024: Kerajaan digesa mempertimbang dan mengambil berat isu hakisan tanah yang teruk di Kampung Melango, Saratok yang meliabtkan lebih 47 rumah...