KUCHING, 15 FEBRUARI 2025: Sarawak Energy Berhad (SEB) melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berskala utiliti pertama di Malaysia yang ditempatkan di Stesen Janakuasa Sejingkat, Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, BESS berkapasiti 60 Megawatt (MW) itu telah diaktifkan pada Disember 2024 dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan sistem grid tenaga di Sarawak.
“Jadi ini yang pertama di Malaysia, dan kalau ini berjaya mungkin kita boleh letakkan BESS di tempat yang lain, kerana ia salah satu mudah alih.
“Jadi saya dan rakan-rakan berfikir ini boleh mencukupkan penggunaan tenaga atau keperluan tenaga yang lebih stabil di kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media sejurus selesai mengadakan lawatan ke BESS di Sejingkat Power Corporation (SPC) pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, sistem ini membolehkan integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Sarawak Energy Berhad telah membelanjakan sebanyak RM128 juta untuk 22 kontena yang mengandungi banyak bateri.
“Tetapi bagi saya adalah prinsip di mana kita boleh menggunakan tenaga cara baru melalui bateri dan ini adalah salah satu teknologi pendekatan dunia baru di Malaysia,” ujarnya.
Premier Sarawak menjelaskan, BESS berfungsi sebagai simpanan tenaga kecemasan dan membantu dalam kawal selia voltan serta frekuensi grid.
Stesen Janakuasa Sejingkat, yang berkapasiti 150MW merupakan loji jana kuasa arang batu pertama di Borneo serta kedua di Malaysia, kini dalam proses peralihan secara beransur-ansur ke arah sumber tenaga lebih bersih.
Langkah ini menunjukkan komitmen SEB terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurangan pelepasan karbon.
Turut hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak;Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi SEB; Dato Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB; Datuk Sharbini Suhaili serta Ketua-ketua Jabatan-UKAS