KUCHING, 07 JUN 2024: Kerajaan Sarawak sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan satu fasiliti untuk alat elektrolizer melalui kilang Kemudahan Pemasangan dan Pengedaran Elektrolizer Sarawak (SEA-DF) yang pertama di rantau Asia di Taman Perindustrian Demak Laut pada Khamis.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kemudahan tersebut menyasarkan untuk menghasilkan 500 megawatt elektrolisis dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus memacu agenda ekonomi hijau untuk Sarawak dan Malaysia.
Menurut beliau, sebagai permulaan kapasiti pengeluaran setahun sekarang ialah 50 megawatt dengan SEA-DF akan membawa perubahan besar dalam penghasilan hidrogen di mana SEDC Energy iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kini mampu menghasilkan elektrolizer tersendiri menggunakan fasiliti ini dengan kerjasama anak Syarikat PETRONAS, Lestari H2GaaS Sdn Bhd.
“Ini adalah ‘game-changers’ dalam proses penghasilan hidrogen kerana kami dapat menghasilkan elektrolizer sendiri di mana fasiliti ini akan mengurangkan kos penukaran air atau H2O menjadi hidrogen.
“Fasiliti ini berpandukan fasiliti penyelidikan PETRONAS di Bangi di mana saya meminta pihak PETRONAS untuk berkongsi teknologi dan bekerjasama dengan SEDC Energy untuk bina satu kilang pemasangan (elektrolizer).
“Kilang ini nanti bukan sahaja memenuhi permintaan domestik tetapi juga membekalkan pengguna di luar Sarawak,” ujarnya dalam sidang media selepas melancarkan SEA-DF di Taman Perindustrian Demak Laut.
Beliau yang juga Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam menambah, kerajaan negeri akan memberikan dana tambahan bagi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama antara SEDC Energy dan Lestari H2GaaS untuk penambahan baik teknologi yang digunakan dalam mengurangkan lagi daya kilowatt per jam (kWj) untuk elektrolizer.
“Sekarang, penggunaan daya kurang dari 40 kilowatt per jam (kwj) dan mungkin mustahil dengan teknologi terkini untuk mengurangkannya ke 30 kwj atau hingga 20 kwj untuk kita mengurangkan lagi kos untuk menghasilkan hidrogen,” jelasnya.
Justeru katanya, dengan adanya kemudahan baharu ini maka ia juga mampu membantu mencapai matlamat Sarawak dalam pengeluaran hidrogen menggunakan teknologi terkini termasuk menjana elektrik terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Sebagai tambahan, elektrolizer merupakan satu sistem yang memisahkan molekul air kepada hidrogen dan oksigen melalui elektrolisis yang menghasilkan hidrogen.
Turut hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi SEDC; Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain dan Naib Presiden Kanan Pengurusan PETRONAS; Datuk Bacho Pilong-UKAS