MIRI, 16 DISEMBER 2023: Kerajaan Sarawak komited untuk mewujudkan infrastruktur asas kepada penduduk tempatan dan juga pelancong asing yang datang melawat ke Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, untuk Bandaraya Miri, kerajaan bercadang untuk menyiapkan jaringan jalan dari Mulu sehingga ke Long Terawan pada 2030.
“Dari Miri ke Marudi dengan jambatan baru, dijangka siapa pada 2024. Kerajaan juga sedang membina jalan dari Marudi ke Long Terawan yang menelan belanja lebih daripada RM1 bilion.
“Usaha ini adalah untuk menarik pelancong luar datang ke Sarawak dan akhirnya membangunkan ekonomi negeri ini,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Hotel Mercure Miri City Centre pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, tahun depan kita menjangkakan lima peratus kenaikan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan dengan membelanjakan duit ke arah pembangunan ekonomi, saya yakin kita akan mencapai sasaran pada 2030.
Difahamkan, konsep dan reka bentuk Hotel Mercure Miri City Centre ini diinspirasikan oleh budaya Sarawak seperti lukisan Gua Niah dan Ruai Rumah Panjang yang dipahat di dinding hotel mereka.
Selain menawarkan penginapan, hotel ini juga menawarkan berbagai pakej termasuk pakej perkahwinan dan pakej mesyuarat yang boleh menempatkan seramai 200 orang pengunjung.
Hadir sama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengarah Evolveland Berhad; Sim Then Quay dan Roger Sim, Datuk Bandar Majlis Perbandaran Miri; Adam Yii Siew Sang, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak; Fazzrudin Abdul Rahman dan Naib Presiden Kanan Operasi ACCOR Malaysia & Indonesia; Michel Vivier.-UKAS