KUCHING, 18 FEBRUARI 2025: Kerajaan Sarawak diminta untuk mengeksport tenaga elektrik ke Filipina dari Miri melalui Sabah menerusi satu pelaksanaan projek yang dijangka bermula tahun hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam perbincangannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri meminta kita menghantar tenaga dari Sabah ke selatan Filipina. Ini bermakna kita akan membekalkan tenaga dalam ASEAN dan ini adalah kekuatan kita.
“Segala pelaburan memerlukan tenaga, dan Malaysia, khususnya Sarawak yang memiliki kelebihan dalam aspek ini yang boleh menarik lebih banyak pelaburan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Affin Bank di Kuching pada Isnin.
Pelaksanaan projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Projek Grid ASEAN, yang akan merealisasikan visi Sarawak sebagai “Bateri ASEAN” dalam sektor tenaga.
Untuk rekod, tenaga elektrik yang akan dieksport dari Miri dihasilkan melalui teknologi Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) sebanyak 500 megawatt oleh Petros menerusi loji janakuasa yang kini sedang dibina di Lutong.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak telah melabur sebanyak RM2 bilion dalam projek tenaga yang menggabungkan kombinasi hidrogen dan stim menggunakan teknologi syarikat Mitsubishi yang pertama kali digunakan di rantau ini.
Turut hadir sama ialah nTimbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Affin Bank Berhad; Dato’ Agil Natt, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad; Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali serta tetamu kenamaan lain-UKAS