SIBU, 24 JULAI 2022 (SNN): Sarawak sangat bertuah kerana dikurniakan semangat toleransi yang tinggi dalam kalangan penduduknya yang terdiri dari pelbagai bangsa dan kepercayaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata perpaduan yang utuh serta sikap saling hormat menghormati dalam kalangan penduduk menjadikan budaya Sarawak begitu unik dan dicontohi oleh negeri-negeri lain.
Katanya, penumpuan dalam latarbelakang budaya 29 etnik yang terdapat di negeri ini mewujudkan pemahaman yang sangat tinggi dalam kalangan penduduknya.
“Perpaduan kita begitu tinggi dan kita sama-sama yakin dan juga mempunyai kepercayaan yang tinggi di antara satu sama lain dan hormat menghormati di antara kita. Sebab itulah Sarawak sentiasa menjadi contoh yang diambil oleh rakan-rakan kita apabila melihat bagaimana corak hidup kita yang berlainan latarbelakang.
“Malah sewaktu pelancaran Keluarga Malaysia oleh YAB Perdana Menteri (Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob) di Kuching dahulu, beliau telah menyatakan bahawa kalau hendak melihat model Keluarga Malaysia, tengoklah Sarawak, Sarawaklah modelnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan Borneo 2022 bertempat di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Fasa 1, Sibu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari percaya Pesta Kebudayaan Borneo anjuran Majlis Perbandaran Sibu akan terus diletakkan dalam kalendar pelancongan Sarawak pada tahun hadapan melihat kepada sambutan memberangsangkan terhadap pesta itu saban tahun.
Sementara itu, Premier Sarawak serta isteri dan semua tetamu lain disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan pelbagai etnik pada malam terakhir Pesta Kebudayaan Borneo yang telah bermula sejak 18 Julai lepas.
Antara yang mencuri tumpuan persembahan dari kumpulan Kemada yang mempersembahkan Ayun Lundai, Lang-E, Tarian Golek Montro yang dibawa dari Istana Mangkunegaran Indonesia, tarian Orang Ulu dan banyak lagi.
Hadir sama isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar, Timbalan Menteri Pelancongan; Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Datuk Snowdan Lawan serta isteri Datin Melinda Claudia, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan; Datu Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan; Micheal Tiang Ming Tee, Raja Puro Mangkunegaran Sukarta Indonesia; Yang Mulia Sri Paduka Mangkoenagoro X, Konsul Jenderal Republik Indonesia Di Kuching; Raden Sigit Witjaksono serta kenamaan-kenamaan lain.-UKAS.