KUCHING, 19 MAC 2025 (SNN): Wilayah Sarawak ketika ini mempunyai potensi menjadi hab tenaga dan grid di Borneo dan ASEAN dengan pelaksanaan beberapa projek sambung tara untuk tenaga eksport.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, kini terdapat beberapa projek penyambungan grid tenaga sedang dilaksanakan iaitu projek sambung tara Sarawak ke Kalimantan, Indonesia manakala Sarawak – Sabah yang sudah dilaksanakan sejak tahun 2016 dijangka siap pada tahun ini.
Katanya, projek sambung tara Sarawak dengan Brunei Darussalam pula diperingkat perbincangan dan ini bakal meralisasikan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai ‘Borneo Power Grid’.
“Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) juga kini sedang membuat kajian untuk sambungan tara Sarawak – Singapura dan Sarawak – Semenanjung Malaysia yang mana berpotensi membuka peluang perdagangan tenaga yang lebih meluas.
“Peluang dagangan ini bahkan mampu ke peringkat ASEAN sekaligus merealisasikan aspirasi ‘ASEAN Power Grid’ dengan Sarawak sebagai hab tenaga,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Sarawak Enegery Stakeholders Sungkei, di Sheraton Hotel, Kuching, pada Isnin.
Dalam ucapan beliau lebih lanjut, Julaihi menjelaskan liputan elektrik untuk kawasan luar bandar di Sarawak kini telahpun mencapai 98.6 peratus dan MUTS bersama agensi Sarawak Energy akan terus komited mencapai elektrifikasi penuh di Sarawak dengan pembekalan tenaga boleh dipercayai secara menyeluruh bagi memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya lagi, untuk memastikan kemajuan berterusan berdasarkan pencapaian sepanjang sedekad yang lalu, MUTS bersama SEB akan mengkaji semula ‘Pelan Induk Elektrik Sarawak 2025-2030’ yang bertujuan untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam yang lebih mampan dan dipercayai ramai.
“Sarawak Energy selaku agensi pelaksana memainkan peranan penting untuk bersama-sama memastikan projek atau inisiatif dilaksanakan dengan lancar dan ini akan memastikan segala usaha yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan serta permintaan semasa dengan berkesan,” ujarnya lagi.
Jelasnya, bagi memastikan semua strategi dan inisiatif untuk bekalan elektrik yang mampan dapat dicapai beliau berharap kerjasama semua pihak berkaitan dapat dijalinkan agar bersama merealisaikan aspirasi PCDS 2030 untuk Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.