More
    Home Malaysia Sarawak berada di landasan tepat sebagai peneraju inovasi digital

    Sarawak berada di landasan tepat sebagai peneraju inovasi digital

    BARCELONA, 05 MAC 2025: Kerajaan Sarawak kini berada di landasan yang tepat sebagai peneraju dalam inovasi digital dengan memastikan teknologi pintar terus mendorong pertumbuhan ekonomi, kemapanan dan peluang yang lebih besar untuk rakyatnya.

    Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkongsian strategik akan membentuk masa depan ekonomi digital Sarawak sekaligus menandakan satu lagi pencapaian dalam komitmen kepada kerjasama, inovasi dan kemajuan.

    Menurutnya, Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah bekerjasama dengan Huawei dalam pelbagai projek untuk memajukan transformasi digital Sarawak terutamanya dalam pembangunan bandar pintar.

    “Salah satu inisiatif utama yang terhasil daripada perkongsian strategik ini ialah Pelan Induk Bandar Pintar Kuching yang bertujuan meningkatkan kehidupan bandar melalui integrasi teknologi digital.

    “Kerjasama ini telah membina asas untuk ekosistem bandar yang lebih terhubung dan cekap, memanfaatkan inovasi dalam kesalinghubungan, analitik data dan infrastruktur pintar untuk memperbaiki perkhidmatan awam dan keseluruhan kualiti hidup.

    “Berdasarkan asas kukuh ini, memorandum persefahaman (MoU) yang terbaharu akan mempercepat transformasi digital Sarawak melalui pengembangan kesalinghubungan, pemodenan infrastruktur, pemerkasaan pembangunan kecerdasan buatan (AI), peningkatan keupayaan data dan pengembangan bakat digital,” katanya semasa majlis pemeteraian MoU di antara Kerajaan Sarawak dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd sempena Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 pada Selasa waktu tempatan.

    Datuk Amar Douglas Unggah ketik menyaksikan MoU antara Kerajaan Sarawak dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd-foto UKAS

    Datuk Amar Douglas Uggah menambah, kerjasama strategik ini juga akan mengembangkan kesalinghubungan tanpa wayar ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar serta memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam transformasi digital Sarawak.

    Seterusnya, tambah beliau lagi, melalui kerjasama tersebut nanti akan memodenkan rangkaian transmisi bagi mewujudkan infrastruktur yang boleh diskala dan pintar, menyokong penerapan teknologi 5G yang pesat dan inovasi masa depan.

    “MoU ini akan memajukan pembangunan AI dengan membina infrastruktur yang diperlukan, memupuk penyelidikan dan mencipta penyelesaian AI yang mencerminkan keperluan dan identiti unik Sarawak.

    “Selain itu, kerjasama ini membangunkan pusat penyimpanan data canggih, yang membolehkan pertukaran data yang selamat dan penghasilan produk untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dan daya saing digital,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan MoU itu juga akan memperkukuhkan pembangunan bakat digital, melengkapkan tenaga kerja Sarawak dengan kemahiran dalam AI, Big Data, IoT, dan teknologi imersif untuk menyokong cita-cita ekonomi digital Sarawak.

    Ujar beliau lagi, dengan MoU tersebut beliau berharap, dapat bersama-sama membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sarawak yang lebih terhubung, inklusif dan penuh dengan kemungkinan baharu.

    Turut hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS); Datuk Abdullah Saidol serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Sarawak berada di landasan tepat sebagai peneraju inovasi digital

    0
    BARCELONA, 05 MAC 2025: Kerajaan Sarawak kini berada di landasan yang tepat sebagai peneraju dalam inovasi digital dengan memastikan teknologi pintar terus mendorong pertumbuhan...