LAWAS, 27 JULAI 2023 (SNN): Sarawak terus mengorak langkah ke depan dan bakal menyaksikan pelbagai kemajuan selaras dengan slogan ‘Sarawak Maju Makmur’.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dalam kerajaan perpaduan, Sarawak berada dalam landasan tepat kerana mempunyai rakyat pelbagai bangsa, agama, bahasa dan warna kulit.
“Sejak dahulu lagi kita mementingkan perpaduan dan kita sangat bersyukur kerana kerajaan telah terbukti berjaya menguruskan kepelbagaian yang ada sehingga dapat hidup dengan aman dan damai serta membangunkan negeri dalam tempoh 60 tahun ini.
“Dalam konteks negara kita pula, kepelbagaian yang ada ini mesti diadun sebaiknya supaya Malaysia dapat dibina atas kesepaduan, keharmonian, kesejahteraan dan kebahagiaan seluruh rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Limbang 1445H/2023M bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” di sini pada Selasa.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, dalam soal perpaduan dan hubungan antara sesama manusia, Al-Quran telah mempersembahkan satu peta jalan yang lengkap melalui Surah al-Hujurat iaitu surah ke-49 dalam Al-Quran.
Program Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Bahagian Limbang tersebut berjalan dalam suasana meriah dengan persembahan nasyid, pidato dan cabutan bertuah.
Dalam pada itu, Yajudin Ibrahim dinobatkan Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran dan Eza Nurumaiza Japarudin sebagai Qariah Manakala naib johan Qari dimenangi oleh Mohammad Wardi Nordin dan naib johan Qariah Sabariah Adenan.
Turut hadir Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Majlis Tilawah Al Quran (MTQ) Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Enggal dan Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Rahim Awang Rosely.-UKAS