KUCHING, 07 OKTOBER 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak telah menetapkan keterangkuman sebagai prasyarat asas untuk memastikan negeri ini berjaya dalam peralihan daripada ekonomi berasaskan komoditi tradisional kepada ekonomi teknologi yang lebih maju.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ketetapan tersebut dianggap sebagai aspek penting dalam usaha memajukan negeri ini ke era baharu yang didominasi oleh inovasi dan teknologi.
Menurutnya, keterangkuman ini merujuk kepada kemahiran dan pengetahuan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Kecerdasan Buatan (AI), pembelajaran mesin dan teknologi digital lain yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi yang semakin berasaskan kepada teknologi.
“Kita telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mencapai matlamat ini, termasuk pelaburan yang besar dalam infrastruktur digital yang terkini.
“Selain itu, kita juga telah mendorong perkembangan ekosistem permulaan yang berkembang maju serta memberikan penekanan kepada kemahiran semula dan pengayaan proaktif untuk tenaga kerja,”ujarnya semasa berucap menyempurnakan penutupan Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) serta Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2023 yang diadakan secara serentak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.
Dalam ucapan sama, Datuk Amar Awang Tengah menekankan hasrat Sarawak untuk membuka pintu gerbang bagi pemain antarabangsa yang mencari peluang di Asia Tenggara, dengan menyediakan infrastruktur yang diperlukan serta tenaga kerja terlatih khusus untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.
“Sarawak telah menjadi destinasi pelaburan yang terkenal di Malaysia, dengan pelabur yakin terhadap pentadbiran kerajaan kita yang mesra perniagaan dan pelaburan. Selain itu, lokasi strategik Sarawak menawarkan banyak kelebihan bagi pertumbuhan dan kemajuan perniagaan,”tambah beliau.
Kemuncak acara teknologi utama dunia yang telah berlangsung selama tiga hari itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN); Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar; Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Untiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang, Timbalan Pengerusi bersama WCIT; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta Pengerusi Perikatan Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan Dunia (WITSA); Dr Sean Seah.-UKAS