KUCHING, 14 JANUARI 2024: Sarawak merupakan salah satu dari empat lokasi di dunia yang memiliki kemampuan dan kesesuaian untuk menyimpan karbon dioksida di bawah tanah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kelebihan ini telah meningkatkan lagi minat kerajaan Sarawak dalam menyelidik serta membangunkan inisiatif Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) yang dihasilkan oleh kegiatan ekonomi, seperti pembakaran bahan bakar fosil.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja untuk membantu ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan memerangi perubahan iklim, malah secara tidak langsung membuka peluang untuk Sarawak menambah sumber pendapatan.
“Sekiranya ada yang berminat untuk menangkap dan menyimpan karbon di bawah tanah kita, ia tidak akan percuma. Sudah tentu ada bayarannya.
“Jadi ini menjadi satu lagi pendapatan untuk Sarawak dan dalam masa, marilah kita bersama-sama berdoa agar geologi kita kekal stabil dan dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan Sarawak,” katanya semasa menghadiri ‘Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier’, anjuran TVS bertempat di Hikmah Exchange, pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai kemajuan Sarawak pada masa ini, Premier Sarawak menegaskan konsep kekeluargaan merupakan acuan yang diamalkan sejak dahulu lagi bagi merealisasikan sebuah keluarga harmoni berbilang kaum.
Katanya, Sarawak yang mempunyai pelbagai latar etnik dan budaya saling menghormati antara satu sama lain sehingga wujud kestabilan yang akhirnya memudahkan pihak kerajaan melaksanakan program transformasi untuk membantu rakyat.
Turut serta ialah isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Perdana Menteri; Dato’ Sri Fadillah Yusof, Speaker Dewan Negara Malaysia; Senator Tan Sri Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak, barisan Kabinet Sarawak, Dif-Dif Kenamaan, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat.-UKAS