KUCHING, 09 JUN 2023 (SNN): Kawasan Perindustrian Sama Jaya, Kuching dan Samalaju, Bintulu yang mempunyai ekosistem yang menyokong kepada pembangunan tenaga solar berpotensi untuk mewujudkan pasaran solar ke peringkat global.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kedua-dua taman perindustrian itu terletak di kawasan strategik untuk pelabur menembusi pasaran serantau dan global dalam pembekalan solar.
“Hal ini amat tepat kerana terdapat satu kilang pengeluar solar di Zhuzai, China berhasrat untuk meluaskan perniagaannya di luar negara bagi memenuhi permintaan peringkat global.
“Oleh itu, kita (Sarawak) mempunyai peluang besar untuk menjadi destinasi pilihan mereka (pengilang) untuk membuka kilang solar sejajar dengan hasrat Sarawak ingin menjadi peneraju dalam tenaga hijau di negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan semasa mengadakan lawatan kerja ke Zhuzhai, China baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) itu juga menambah, projek beropentsi berimpak tinggi itu juga adalah amat sesuai dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 yang digerakkan oleh data dan teknologi terkini.
Terdahulu, Awang Tengah dan rombongan dari Sarawak berpeluang mengadakan lawatan ke kilang solar dengan pelbagai fungsi kegunaan seperti kediaman, komersial dan industri.
Turut serta dalam rombongan adalah Timbalan Menteri MINTRED; Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat MINTRED; Datuk Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar; Datu Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED; Dzulkornain Masron, Pengarah EPU; Lester Matthew, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei; Datu Abdullah Julaihi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RECODA; Datu Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sarawak Energy Bhd, James Ung.-UKAS.