KUCHING, 23 MAC 2022 (SNN) : Sambutan Hari Air Sedunia merupakan satu platform yang boleh memberi kesedaran serta memperbaharui tekad semua lapisan masyarakat untuk menangani isu-isu berkaitan air.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, perkara ini dilakukan melalui pelaksanaan pelan strategik dan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia.
“Sambutan ini juga bertujuan memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan yang dilancarkan pada 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih menjelang tahun 2030,’’ jelasnya ketika berucap pada Program Sambutan Air Sedunia 2022 Peringkat Negeri Sarawak di sini pada Selasa.
Beliau berpendapat bahawa tema sambutan kali ini iaitu ‘Groundwater – Making the Invisible Visible’ dengan penumpuan khas kepada sumber air bawah tanah adalah selari dengan usaha kerajaan untuk sentiasa memastikan sumber air adalah mencukupi serta selamat untuk diminum di samping memastikan bekalan air tersedia untuk semua sektor pengguna seperti domestik, industri, dan pertanian.
“Air bawah tanah boleh dijadikan sebagai sumber air alternatif sekiranya ianya tersedia di sesuatu tempat serta pengabstrakan dilakukan melalui kaedah yang betul dan tidak menjejaskan alam sekitar,’’ tegasnya.-UKAS.