KUCHING, 28 APRIL 2024 (SNN): Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersetuju meluluskan 46 projek berkaitan air di Sarawak yang meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos sebanyak RM6.01 bilion melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Fadillah Yusof dalam ucapan beliau berkata, bagi tahun 2024 ini sebanyak RM298 juta peruntukan telahpun diluluskan bagi pelaksanaan projek-projek berkaitan air di negeri Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, projek-projek yang diluluskan tersebut merangkumi projek pelindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai dan pemuliharaan muara.
“Selain itu, antara lain yang dilaksanakan juga adalah kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembentungan dan naiktaraf loji rawatan air,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Air Sedunia ‘Water For Peace’ Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching pada Ahad.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, Kerajaan Pusat turut yakin dengan siapnya keseluruhan projek itu nanti bakal mengatasi pelbagai aspek termasuklah mengatasi isu bencana air, pengurangan risiko hakisan pantai, meningkatkan penyampaian bekalan air dan pembentungan serta memberi impak positif kepada rakyat Sarawak.
Tegas beliau lagi, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian dalam pelaksaan projek-projek kerajaan bagi menjamin impak yang maksimum kepada rakyat khususnya di negeri Sarawak.
“Pemantauan yang komprehensif serta berterusan turut menjadi kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang sepertimana yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim menerusi Gagasan Malaysia MADANI,” ujar beliau.
Untuk rekod, Sambutan Hari Air Sedunia kali ini menjadikan Sarawak sebagai tuan rumah yang selari dengan tema ‘Water For Peace’ yang mana kepelbagaian etnik dan budaya di Sarawak merupakan tunjang utama dalam kestabilan serta kemakmuran sejagat.
Turut hadir sama adalah Premier Sarawak; Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak; Datuk Amar Prof Dr. Sim Hui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi bersama Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2024; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Sarawak; Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Malaysia; Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam; Dato’ Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Mejar (K) Dato’ Ir. Dr Ahmad Anuar Othman.