KUCHING, 08 OKTOBER 2023 (SNN): Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT di atas kurniaNya serta berkat kecekalan, kesungguhan dan kerja keras ahli jawatankuasa dan peserta SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak Siri iii 2023-Pencak Silat yang berlangsung di Godown Amphiteater Tebingan Sungai Sarawak berjalan dengan lancar.
Menurut kenyataan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), program yang berlangsung bermula jam 8.30 malam hingga 10.00 malam pada Sabtu itu di sertai lebih lima Persatuan Perguruan Silat di sekitar Kuching dan dirasmikan oleh Datu Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr Haji Sanib bin Haji Said.
Antara perguruan silat yang telah mempamerkan seni silat masing-masing di majlis tersebut ialah Perguruan Seni Silat Warisan Harimau, Perguruan Silat Cakar Harimau, Perguruan Seni Silat Benteng Betawi, dan Perguruan Seni Silat Kejiranan Mesra DBKU. Majlis berkenaan turut disajikan dengan persembahan menarik daripada Artis Budaya Badan Seni AKYBMS.
Acara silat itu bahagikan kepada 4 segmen dan setiap perguruan silat yang terlibat mempersembahkan seni silat mereka pada setiap segmen, tidak ketingalan, para guru muda dari setiap perguruan seni silat juga mempersembahkan setiap seni buah persilatan masing untuk dipertontonkan dalam kalangan khalayak ramai.
Selepas tamat sesi pertama, pengacara majlis telah memilih beberapa penonton untuk acara SAMArindok Silat (Demo Bersama Penonton). Antara penonton yang terpilih pada kali ini adalah Mark and Nicki yang merupakan warga negara England.
Pada acara kemuncak, acara penyampaian sijil telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia, Datu Dr. Haji Sanib Bin Haji Said kepada wakil dari setiap perguruan seni silat.
Kata kenyataan itu lagi, pihak jawatankuasa pelaksana mengucapkan terima kasih atas komitmen, kerjasama, dan sokongan dari semua pihak. Sekalung penghargaan kepada guru-guru silat, para pesilat, dan penonton atas sokongan dan kerjasama serta kesungguhan anda semua dalam mempamerkan disiplin yang jitu dengan menonjolkan sokongan kolektif anda terhadap usaha pembangunan khazanah Warisan kebudayaan Melayu Sarawak.
Akhir sekali, kami ingin mengembangkan lagi akan pengetahuan anak muda tentang seni Melayu yang kian pupus untuk membendung seni dan sejarah melayu kita dari ketingalan dan di lupakan oleh dek zaman.-AKYBMS