KUCHING, 08 DISEMBER 2024 (SNN): SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2024 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) mempamerkan pelbagai seni adat dan kebudayaan masyarakat Melayu Sarawak.
AKYBMS dalam kenyataannya menjelaskan, program berkenaan yang dilangsungkan tiga bulan sekali di Godown Amphiteter, Tebingan Sungai Kuching, Sarawak itu diadakan dengan objektif terus mengembangkan pengetahuan anak muda tentang seni Melayu yang makin terpinggir selain mempertahankan seni dan sejarah Melayu dari terus terlupakan oleh kemajuan zaman.
Majlis yang berlangsung semalam itu telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Abdul Wahab bin Aziz yang turut diringi oleh Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr Sanib bin Said.
“Acara kali ini dibahagikan kepada empat segmen iaitu SEGMEN SAMArindok 1 merangkumi persembahan Lagu Melayu Asli 1, Tarian Puteri Sarawak, Syair Tarsilah Negeri Saribas, Lagu Melayu Asli 2 diikuti SEGMEN 2 iaitu Tarian Zapin Sindang, Lagu Melayu Asli 3, Pencak Silat, Lagu Melayu Asli 4.
“Pada SEGMEN SAMArindok 3 pula mempersembahkan Laksamana Raja di Laut, Deklamasi Sajak Menunggu Laila, Umpan Jinak di Air Tenang, Kumpulan Gendang Sri Buana dan diikuti persembahan SAMArindok Final iaitu bertandak beramai-ramai,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, antara penyertaan yang mempamerkan seni masing-masing ialah Artis Tari Badan Seni AKYBMS, Pemuzik Tradisional AKYBMS, Persatuan Persilatan Seni Asli Zamrud (KJM DBKU), Kumpulan Gendang Sri Buana, Penyanyi Irama Melayu Sarawak dan Pembaca Syair dan Gurindam.
Pihak AKYBMS khususnya ahli jawatankuasa pelaksana program mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung serta orang ramai yang turut memeriahkan menjayakan program berkenaan.
Turut hadir sama pada majlis ialah, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU; Encik Rudzaimeir Malek dan Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak; Dr. Haji Wan Ali bin Tuanku Madhi.