KUCHING, 23 OGOS 2024 (SNN): Bahagian Samarahan telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2024.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa memberitahu, sambutan kali ini akan berlangsung selama empat hari iaitu bermula pada 5 hingga 8 September depan, dengan lima program utama yang telah diatur untuk memeriahkan acara tersebut.
Katanya, program-program berkenaan termasuklah Pameran Raja Kita, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain, Solat dan Khutbah Jumaat, Majlis Kesyukuran Agama Islam dan Majlis Jamuan Teh.
“Pameran ini juga akan menampilkan pelbagai alat kebesaran Diraja serta biografi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang akan membawa pengunjung mengenali lebih dekat hobi, minat, dan peribadi Seri Paduka Baginda.
“Ia dijangka akan menjadi tarikan utama, memandangkan Sarawak tidak mempunyai Raja dan beberapa barangan yang dipamerkan mungkin belum pernah kita lihat secara dekat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk kali Kedua di Wisma Bapa Malaysia, pada Khamis.
Beliau yang juga menteri bertanggungjawab menambah, program yang akan berlangsung di pusat membeli-belah Summermall, Kota Samarahan itu dijangka akan dihadiri seramai 10,000 pengunjung.
Manakala, tambahnya lagi, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain yang dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan diadakan pada 5 September, jam 8 malam di Dewan Suarah Kota Samarahan dengan jangkaan kehadiran seramai 500 orang.
Keesokan harinya pula, khutbah Jumaat yang bertemakan sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong akan disampaikan selepas solat sunat Jumaat di Masjid Al Muttaqim Kota Samarahan, disusuli Majlis Kesyukuran bagi umat Islam pada sebelah petang.
“Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dijangka akan hadir, diikuti 700 tetamu jemputan lain termasuk wakil-wakil rakyat tempatan dan menteri-menteri berkaitan.
“Selain solat berjemaah dan doa kesyukuran, program ini turut diselitkan dengan aktiviti lain seperti bacaan surah Yasin dan alunan Zikir Marhaban yang akan diuruskan oleh Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN),”tambah beliau.
Majlis Jamuan Teh pula ujarnya akan diadakan pada 7 September, di DeTAR PUTRA Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan sasaran 500 kehadiran.
“Selain Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut dijangka hadir bersama Menteri-menteri Kabinet Sarawak dan dif-kehormat lain.
“Kita juga mengadakan pameran di sekitar ruang dewan tersebut kelak,”jelasnya lanjut.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya); Datuk Dr. Jerip Susil, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan); Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Infrastruktur); Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Residen Bahagian Samarahan; Irwan Bujang, Ketua-ketua Jabatan serta wakil-wakil agensi yang terlibat.