KUCHING, 27 MEI 2022 (SNN): Dianggarkan 7,000 buah menara telekomunikasi diperlukan untuk memastikan liputan perkhidmatan telekomunikasi yang menyeluruh di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, setakat ini 3,471 buah menara sudah siap dibina manakala 1,043 menara lagi sedang dibangunkan secara berperingkat sehingga suku ketiga 2023 manakala, baki 2,486 menara baharu lagi akan dibina dalam tempoh tahun 2025 sehingga 2030.
“Daripada jumlah 3,471 menara yang sudah siap dibina, 3,186 menara sudah beroperasi manakala 285 sedang dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi dan siap beroperasi (on-air) sepenuhnya penghujung tahun 2022.
“Untuk rekod, daripada 3,471 menara telekomunikasi yang beroperasi di Sarawak, sejumlah 584 menara telekomunikasi dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dalam pada itu, ujar Datuk Julaihi lagi, bagi mencapai hasrat itu Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah mewujudkan dan melaksanakan inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN).
“Terdapat enam inisiatif utama SALURAN iaitu pembinaan 600 menara baharu yang dilengkapkan dengan peralatan telekomunikasi di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART), penyediaan kemudahan capaian jalur lebar WIFI SALURAN menggunakan teknologi satelit di 250 kawasan yang tiada perkhidmatan telekomunikasi, perluasan khidmat SarawakNet melalui program Digital Socio Economy ke 60 tapak di seluruh Sarawak dan perluasan liputan gentian optik sepanjang 130km di Sebauh, Bintulu melalui projek perintis Sebauh Rural High-Speed Open Broadband Network.
“Begitu juga inisiatif penyediaan Point of Interconnect (PoI) bagi menyediakan perkhidmatan Internet untuk sembilan buah Taman Negara di Sarawak dan pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar tetap tanpa wayar melalui pakej Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN),” tambahnya.
Untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif ini, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.89 bilion.
Sementara itu, Datuk Julaihi turut menjelaskan sebanyak RM4.09 bilion diperuntukkan di bawah Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi program JENDELA Fasa 1 bagi melaksanakan empat (4) inisiatif utama untuk memperluaskan serta menambah baik perkhidmatan telekomunikasi di Sarawak.
“Empat inisiatif tersebut adalah seperti berikut pembinaan sejumlah 824 buah menara yang dilengkapkan dengan peralatan yang menyediakan kemudahan 4G, perluasan perkhidmatan gentian optik meliputi 116,096 premis kediaman dan perniagaan di seluruh Sarawak, broadband Wireless Access (BWA) yang melibatkan penyediaan kemudahan capaian jalur lebar secara kolektif (wifi hotspot) di 523 lokasi luar bandar dan menaik taraf perkhidmatan rangkaian 3G kepada 4G di lebih 3,000 buah stesen pemancar yang sedia ada,” jelasnya.
Daripada 824 menara yang dirancang, sebanyak 82 buah menara telah disiapkan setakat ini dan baki sebanyak 742 dijadual siap secara berperingkat sehingga suku ketiga tahun 2023. Setakat ini, 636 daripada 742 menara sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.-UKAS.