KUCHING, 12 APRIL 2025: SACOFA Sdn Bhd terus mengukuhkan peranannya sebagai pelopor pembangunan infrastruktur telekomunikasi untuk memacu transformasi digital di Sarawak sejak tahun 2001.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, SACOFA terus berkembang menjadi tulang belakang sistem komunikasi wilayah ini, dengan lebih 1,688 menara telekomunikasi.
“Ini termasukl dengan 1,250 menara komersial dan 438 tapak di bawah inisiatif menara Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) serta rangkaian kabel gentian optik sejauh lebih 12,000 kilometer di seluruh Sarawak.
“Infrastruktur yang dibangunkan oleh SACOFA bukan sekadar tiang besi dan kabel gentian, ia adalah pemacu kepada teknologi masa hadapan seperti 5G, serta pemudah cara untuk penyelesaian digital yang bersifat ‘plug and play’ di mana ia membuka ruang kepada komuniti luar bandar, pinggir bandar dan koridor ekonomi negeri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pejabat Korporat SACOFA Sdn Bhd di i-COM Square, pada Jumaat.
Dato Sri Julaihi menambah, melalui konsep perkongsian infrastruktur SACOFA turut membantu syarikat telekomunikasi meluaskan rangkaian dengan lebih cekap, mengurangkan kos modal, dan mengatasi cabaran kawasan berbukit dan peraturan yang ketat.
Jelasnya, kerjasama strategik SACOFA dengan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) turut dilihat sebagai kunci kejayaan dalam memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif digital sampai ke akar umbi, termasuk sekolah, klinik, rumah panjang dan perniagaan mikro.
Menyentuh mengenai peranan SACOFA, beliau mendedahkan syarikat korporat berkenaan merupakan salah satu peneraju dalam pembangunan infrastruktur kabel dasar laut, untuk memastikan Sarawak mempunyai sambungan antarabangsa yang kukuh, daya tahan jalur lebar dan kedaulatan data.
“Usaha ini menjadi tunjang kepada visi jangka panjang Sarawak sebagai hab digital serantau melalui projek Sarawak Gateway, yang akan menghubungkan wilayah ini dengan Johor, Singapura, Batam, Brunei dan Kalimantan.
“Dalam masa yang sama, sumbangan SACOFA terhadap pertumbuhan ekonomi juga tidak dinafikan di mana projek-projeknya membuka peluang pekerjaan, memperkasakan kontraktor tempatan dan menyokong usahawan teknologi,” ujarnya.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan SACOFA Sdn Bhd; Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib, Pengarah-Pengarah SACOFA; Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Dato Maznah Abdul Jalil, Dato Mat Hassan Esa, Datu Jafri Lias, Datu Mersal Abang Rosli, Jeyabalan Parasingam dan Busiai Seman-UKAS