KUCHING, 28 NOVEMBER 2022 (SNN): Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) akan meneruskan usaha murni membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.
Pengerusi SABATI yang juga merupakan isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang berkata, sepanjang 40 tahun penubuhannya, SABATI telah banyak menyumbang bakti kepada golongan yang memerlukan di seluruh Negeri Sarawak.
“SABATI akan meneruskan sumbangan kepada pesakit jantung yang kurang berkemampuan untuk menerima rawatan termasuk mangsa-mangsa bencana alam dan mereka yang memerlukan.
“Selain itu, SABATI juga pernah menderma peralatan perubatan, alat menaip Braille, kerusi untuk pesakit kanser berehat semasa menerima rawatan kemoterapi serta kelengkapan untuk rumah anak yatim,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma SABATI sempena ulang tahun ke-40 di Jalan Bako, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani menambah, SABATI juga turut memberi sumbangan kepada 54 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh Negeri Sarawak.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang erat antara Presiden-Presiden dan ahli-ahlinya yang sungguh komited dengan tugasan dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Kami amat menghargai sumbangan dan kepimpinan Tan Sri Empiang Jabu, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Datin Patinggi Hajah Jamilah Anu di dalam meneruskan perjuangan SABATI,” katanya lagi.
Dlam pda itu, beliau turut menyatakan hasrat SABATI untuk mempunyai sebuah bangunan sendiri dan ianya kini menjadi kenyataan dengan siapnya pembinaan Wisma SABATI.
Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Sarawak atas sokongan padu dan sumbangan ke atas pembinaan bangunan tersebut.
Hadir sama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak; Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri; Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Premier Sarawak; Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi beserta isteri dan dif-dif kenamaan yang lain.-UKAS.