KUCHING, 23 NOVEMBER 2022 (SNN): Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Sarawak Bagi Aktiviti Elektronik 2022 atau ‘Electronic Sarawak Government Activities Bill 2022’ diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar setelah bacaan ketiga dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi pada Selasa.
Terdahulu dalam pembentangan bacaan kedua, Datuk Julaihi berkata, pengenalan RUU ini akan memudahkan agenda transformasi digital Sarawak di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurutnya, kerajaan berhasrat mewujudkan persekitaran digital yang lancar serta untuk berinovasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Bagaimanapun, di bawah rangka kerja berkanun sedia ada, tidak semua perkhidmatan kerajaan boleh disampaikan secara dalam talian. Kebanyakan undang-undang negeri ini digubal ketika penggunaan teknologi digital masih asing pada masa dulu.
“Dalam pada itu, RUU ini bertujuan menyediakan rangka kerja perundangan untuk kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun di bawah undang-undang negeri untuk menjadi ‘e-enabled’ tanpa memerlukan pindaan lanjut kepada undang-undang Sarawak yang lain,” katanya.
Beliau mengulas lanjut, ia turut akan membolehkan pelaksanaan perkara berasaskan teknologi digital termasuk penyimpanan dan penyerahan dokumen secara elektronik, pembayaran dibuat secara dalam talian dan resit dikeluarkan secara elektronik serta pengeluaran lesen, permit, kelulusan atau kebenaran secara elektronik.
Secara keseluruhannya, Datuk Julaihi memberitahu, kelulusan RUU itu akan merealisasikan usaha pendigitalan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Sarawak dan menyediakan asas bagi transformasi digital dan ekonomi negeri ini.-UKAS.