KUCHING, 16 MEI 2022 (SNN) : Sambutan Hari Raya Aidil Fitri pada kali ini amat bermakna bagi setiap umat Islam berbanding dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19 kerana ianya dapat disambut dengan penuh kemeriahan seperti kelazimannya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi turut tidak melepaskan peluang meraikan kemeriahan hari raya itu dengan mengadakan Rumah Terbuka Menteri Utiliti dan Telekomunikasi baru-baru ini bagi meraikan suasana raya bersama rakyat dan rakan menteri yang lain.
Di samping itu, dalam sesi ucapan beliau, Julaihi menjelaskan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan pengurusan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah merancang untuk menggabungkan empat entiti pengurusan sumber air dan bekalan air paip di negeri ini menjadi satu entiti baharu.
“Empat entiti itu ialah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU). Proses butiran akhirnya masih dikaji dengan juruperunding.
“Sejurus semuanya selesai, cadangan untuk menggabungkan empat entiti pengurusan sumber air dan bekalan air paip itu akan dibawa ke kabinet Sarawak untuk diluluskan,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di Hotel Margherita, Kuching, pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menambah, dengan penggabungan empat entiti itu nanti kerajaan dapat meningkatkan kecekapan mengurus sumber air dan menseragamkan keseluruhan pengurusannya di seluruh negeri ini.
Oleh kerana air adalah keperluan harian dan untuk kehidupan, pengurusan yang cekap amat penting dan penggabungan empat entiti yang mungkin dapat dilaksanakan tahun ini mampu menyelesaikan masalah berkenaan,” ujarnya lagi.
Dalam kesempatan itu juga, Datuk Julaihi turut merakamkan penghargaan keapda semua tetamu yang sudi hadir pada majlis rumah terbuka tersebut dan majlis yang sama juga akan diadakan di Dewan Pembangunan Sebuyau bagi meraikan kemeriahan susana raya bersama masyarakat Daerah Sebuyau.