BINTULU, 24 SEPTEMBER 2019 (SNN) – Sebanyak RM80 juta telah diperuntukan bagi membina sebuah muzium di Bintulu pada tahun depan. Muzium ini akan dibina di puncak Bukit Jepak yang terletak di kawasan Kampung Jepak di seberang bandar Bintulu. Projek ini akan dijangka siap pada tahun 2023 dan akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Bintulu atau Bintulu Development Authority (BDA) sebagai agensi pelaksana.
Untuk persediaan awal pembinaan muzium ini satu bengkel telah dilancarkan pada hari ini di Everly Hotel oleh Puan Rodziah Morshidi, Pengurus Besar BDA. Tujuan utama bengkel dua hari ini adalah merupakan usaha untuk membawa penglibatan masyarakat, khususnya kaum Vaie Segan. Pada hari pertama ini bengkel adalah untuk ketua kaum, persatuan dan tokoh-tokoh tempatan. Esok pula bengkel akan disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Tuan Haji Abdullah Sheriff, Timbalan Pengurus Besar BDA telah mempengerusikan bengkel pagi ini. Bengkel ini telah mendengar pembentangkan oleh konsultan AJ Architect dari Kuching dan Henry Bong, CEO Pucuk Rebung MHS Sdn Bhd dari Kuala Lumpur. Di samping itu dua orang fasilitator telah turut serta, iaitu Datu Dr. Sanib Said, seorang sejarawan dan mantan Pengarah Muzium Sarawak dan Datuk Khamis Abas, Timbalan Pengerusi dan mantan CEO Perbadanan Muzium Melaka.
Buat sementara waktu projek ini dinamakan Bintulu Development Museum Complex. Ada juga yang mencadangkan Muzium Bintulu (MUBIN) dan bentuk bangunan pula boleh mencontohi perahu layar. Dari segi isi kandungan muzium pihak konsultan mencadangkan sebuah muzium yang merangkumi sejarah dan kebudyaan Kepulauan Melayu di samping sejarah pembangunan umum.
Bagaimanapun masyarakat Vaie Segan mencadangkan agar keutamaan muzium ini hendaklah tentang sejarah dan kebudayaan penduduk Bahagian Bintulu, khususnya masyarakat Vaie Segan. Mereka juga mencadangkan persatuan tempatan dan tokoh tempatan dilantik untuk mencari artifak dan menentuk jalan cerita isi kandungan tentang sejarah dan kebudayaan, khususnya kebudayan maritim yang unik di Sarawak ini.