SEBUYAU, 23 MAC 2025 (SNN): Sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek menaik taraf infrastruktur elektrik di Bahagian Samarahan yang dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang bermula pada awal tahun ini itu dilaksanakan bertujuan bagi memenuhi permintaan beban yang semakin meningkat akibat pertambahan jumlah penduduk dan projek-projek pembangunan yang sedang giat dijalankan.
“Peruntukan RM150 juta itu adalah daripada Kerajaan Sarawak sendiri bagi memastikan sistem aliran elektrik serta kemudahannya mampu menampung beban pengguna yang makin bertambah di kawasan Kota Samarahan termasuklah di Seruyuk ini.
“Ini yang kita lakukan tetapi kerja-kerja itu mungkin akan memakan masa sedikit dan jangkaan kita siap dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika berucap semasa program Ziarah Ramadhan dan Program Tanggungjawab Sosial di Masjid Darul Hidayah, Seruyuk di Sebuyau pada Sabtu.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut meluluskan RM425 juta peruntukan untuk menaik taraf bekalan elektrik di kawasan-kawasan luar bandar yang lain seperti di Lundu, Bahagian Betong, Lubok Antu, Sungai Asap dan Lawas.
“Kedua-dua pakej dan kerja naik taraf infrastruktur itu akan dilaksanakan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB), Unit Perancangan Unit dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (PSKN) dalam masa terdekat supaya ia dapat dilaksanakan pada kadar segera,” jelasnya.
Bercakap mengenai program Ziarah Ramadan dan Program Tanggungjawab Sosial anjuran Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) di Kampung Seruyuk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu memberitahu, penganjurannya bertujuan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban semasa bulan Ramadan sekali gus sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Alhamdulillah hari ini giliran Kampung Seruyuk dan sekali gus Kampung Sungai Ladong yang dikenal pasti.Jadi saya berharap ia dapatlah dijadikan keperluan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan,” jelasnya.
Semasa majlis berlangsung, seramai 100 orang asnaf menerima sumbangan berbentuk bakul makanan dan 50 orang kanak-kanak menerima sumbangan duit raya, penerima tersebut adalah masyarakat yang terdiri dari penduduk Kampung Seruyuk, Kampung Sungai Ladong dan Kampung Segali.
Penganjuran kali ini merupakan tahun kedua program ini dianjurkan oleh MUT dengan kolaborasi bersama agensi-agensi terlibat seperti Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Lembaga Air Kuching (KWB), dan Sarawak Energy (SEB).