SARIKEI, 06 JANUARI 2022 (SNN): Kerajaan dalam proses mengenalpasti projek-projek rakyat yang akan diberi keutamaan untuk dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Projek terbabit termasuklah projek yang sudah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg namun masih belum dilaksanakan khususnya di Bahagian Mukah, Sarikei dan sebahagian di Sibu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata pendekatan itu sebahagian dari langkah strategik kerajaan untuk memastikan semua projek berjalan lancar dan memberi impak kepada rakyat.
“Satu pendekatan yang akan kita ambil untuk pelaksanaan RADDA, di dalam bahagian Sarikei dan bahagian Mukah, sebahagian daripada daerah di bahagian Sibu iaitu dengan mengenalpasti, projek-projek yang akan diberi keutamaan terutama sekali projek-projek yang telah diumumkan oleh YAB Premier yang dikategorikan di dalam sebagai projek rakyat tapi belum dilaksanakan.
“Sehubungan itu, peruntukan RM 1.5 billion yang diperuntukkan kepada RADDA akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan tersebut,” katanya dalam majlis perjumpaan tidak rasmi bersama Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli dan Pentadbiran Bahagian Sarikei di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Sarikei pada Khamis.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan kekal komited menjayakan agenda itu kerana sedar akan besarnya kesan terhadap sosial dan ekonomi rakyat bagi jangka masa panjang.
“Adalah penting untuk ahli yang berhormat di bawah RADDA ini untuk mengenalpasti projek-projek yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat atau pun dalam peruntukan yang telah disediakan oleh Premier kita.
“Saya merasa begitu yakin dengan apa yang telah kita bincang dari segi pelaksanaannya, dengan kerjasama daripada Pejabat Residen dan juga daerah di bahagian Sarikei dan Mukah ini,” katanya lagi.
Hadir sama Pegawai Daerah Sarikei Katherine Lalai Eddie Saga dan Pegawai Daerah Meradong Baijuri Bidin.-UKAS.