SARATOK, 25 FEBRUARI 2023 (SNN): Ketua Kampung yang diamanah perlu tegas dan memantau setiap pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk manfaat rakyat dalam jangka masa panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, langkah itu penting untuk memantau dan memastikan kontraktor terbabit mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dan projek siap mengikut jadual.
Ia juga penting supaya tiada isu berbangkit daripada penduduk setempat selepas sesebuah projek RTP siap dilaksanakan, katanya semasa melakukan pemantauan projek RTP di Kampung Kupang pada Jumaat.
Mohamad Duri berkata, sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan di bawah RTP bagi melaksanakan tiga projek di kampung berkenaan.
Projek tersebut ialah pembinaan jalan Kampung Hilir Kupang ke skim Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kali, Kaba, projek menaik taraf sistem perparitan dalam kampung dan membina dewan serbaguna.
“Peruntukan yang besar untuk sesebuah kampung menerusi dana RTP, dapat memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan seperti yang diamalkan sebelum ini, semua kampung mendapat manfaat,” katanya.-UKAS