More
    Home Malaysia RM1.08 bilion diperuntukan bagi menaik taraf saluran paip usang di seluruh Sarawak-Abang...

    RM1.08 bilion diperuntukan bagi menaik taraf saluran paip usang di seluruh Sarawak-Abang Jo

    MIRI 30 MAC 2024: Kerajaan Sarawak terus komited untuk menaik taraf serta menggantikan saluran paip yang telah lama atau usang di seluruh negeri bagi memastikan penyaluran bekalan air lebih mampan.

    Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, RM1.08 bilion telah diperuntuk untuk komitmen ini sebagai langkah memperkasakan lagi sistem bekalan air di Sarawak.

    “Bekalan air ini, mungkin kita sudah hampir mencecah 90 peratus (liputan bekalan air di seluruh Sarawak), tetapi kita hendak menukarkan paip kita.

    “Paip semuanya paip lama. Ini bermakna kita mesti menukarkan kepada paip baharu di seluruh Sarawak. Kosnya sekitar RM1.08 bilion. Oleh itu, saya meminta Dato Sri Julaihi Narawi (Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak) untuk meneruskan pelaksanaannya. Saya akan mencari peruntukan untuk menaik taraf bekalan air kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Taman Jelita, Miri pada Jumaat.

    YAB Premier Sarawak menyempurnakan simbolik perasmian Masjid Baharu Taman Jelita-foto UKAS

    Masjid baharu yang dinamakan sebagai ‘Jamal Ad-Din’ membawa maksud ‘Kecantikan Dalam Agama’, masjid baharu ini turut mampu menampung sekitar 1,050 jemaah pada satu-satu masa.

    Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut mengumumkan dana lebih kurang RM4 juta untuk menambahkan kemudahan di masjid berkenaan termasuk penyediaan van jenazah, fasiliti akad nikah serta ruang untuk pengurusan jenazah.

    Katanya, pembangunan kemudahan-kemudahan tambahan ini akan memudahkan urusan kebajikan serta melengkapkan konsep agama Islam.

    “Pembinaan keluarga, sekiranya akad nikah dalam masjid, ia adalah lebih afdal (lebih baik),” jelasnya lanjut.

    Pada majlis tersebut, Premier Sarawak juga telah menyempurnakan penyampaian cek replika bagi dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM395,000 untuk diagihkan kepada 23 masjid dan surau serta 16 gereja dan chapel di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir.

    Selain itu, turut berlangsung penyampaian sumbangan duit Raya kepada 64 anak-anak Peryatim dari Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup, Miri yang mana simbolik penyerahan kepada 10 penerima telah disempurnakan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.

    Terdahulu, beliau berkesempatan berbuka puasa serta menunaikan Solat Maghrib, Isya dan Tarawih secara berjemaah bersama dif-dif kehormat serta tetamu lain yang hadir.

    Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan; Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak; Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong; Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut; Adam Yii Siew Sang, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak; Datuk Misnu Taha, Residen Bahagian Miri; Jamalie Busri, Timbalan Residen Bahagian Miri; Juan Ubit serta Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak; Ustaz Ahmad Sukarno Saini.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Projek Rural High Speed Broadband di Sebuyau

    0
    SEBUYAU, 27 JANUARI 2025 (SNN): Seramai 122 orang kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam program berkhatan beramai-ramai anjuran Parlimen 201 Batang Lupar dan N27 Sebuyau...