KEMBOJA, 07 DISEMBER 2024: Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan kepada negara-negara minoriti Islam Asia Tenggara dan rantau Pasifik.
Premier Sarawak merangkap Presiden RISEAP Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, adalah penting untuk organisasi RISEAP dan ahli untuk memahami dengan baik situasi sekeliling yang berlaku dan membina ikatan yang padu antara umat Islam dan agama lain.
“Sejak penubuhan 44 tahun yang lepas, RISEAP telah menjadi sebuah organisasi Islam yang luas untuk komuniti minoriti Islam di Asia Tenggara dan rantau Pasifik dengan objektif memupuk persefahaman, kerjasama dan berkongsi amalan terbaik.
“Oleh itu, saya ingin menyeru para perwakilan untuk menekankan pendekatan yang digiatkan semula dalam penyebaran mesej Islam bukan sahaja di kalangan orang bukan Islam tetapi juga untuk orang Islam itu sendiri,” ujarnya semasa berucap pada majlis pembukaan Perhimpunan Agung RISEAP Ke-20 di sini, pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pendekatan atau strategi yang kini dikenali sebagai Da’wah Bil Hal menekankan kepada beramal dan khidmat masyarakat seperti yang dianjurkan dalam Islam untuk memberikan imej positif agama kepada bukan Islam sambil berusaha untuk menggalakkan perpaduan yang lebih erat dan mengangkat kehidupan yang lebih baik di rantau ini.
“Hari ini RISEAP dan ahlinya akan memperingati tahun ke-44 kewujudannya dan kita mempromosikan Da’wah Bil Hal yang menekankan tentang tindakan atau perbuatan baik yang boleh dilakukan oleh sesiapa yang mempunyai sikap dan kecenderungan yang betul untuk membantu jiran terdekat dan sesama manusia di waktu sukar atau kesusahan,” tambahnya.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar.
Turut mengiringi YAB Premier ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia; Dato Hanifah Hajar Taib, Yand di-Pertua Majlis Islam Sarawak; Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak; Datu Kipli Yassin-UKAS