SEBUYAU, 25 MAC 2024 (SNN): Dua buah keluarga yang menjadi mangsa dalam satu kebakaran di Kampung Teblu, Sebuyau pada tahun lalu kini mengukir senyuman dan syukur selepas masing-masing menerima sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Simbolik penyerahan kunci kepada ketua keluarga terbabit disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau.
Menerusi kenyataan beliau juga, projek pembinaan rumah setiap satunya menelan belanja sebanyak RM79,000 yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Sebuyau.
Sementara itu, kedua-dua penerima iaitu Andika Razali dan Khairuddin Francis Abdullah yang merupakan mangsa kebakaran pada tahun lepas menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana telah membantu mereka untuk mendapatkan sebuah rumah yang selesa.
Katanya lagi, pemberian berkenaan adalah merupakan hadiah paling bermakna lebih-lebih lagi di bulan mulia bulan ramadan ini yang penuh dengan keberkatan.
Turut hadir sama menyaksikan majlis adalah wakil Pegawai Daerah Sebuyau; Tahir Putih, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau; Asli Yahya.