More
    Home Sarawak Kuching Ramly Mokni pemilik Kumpulan Ramly Burger yang bermula dari sifar sehingga berjaya...

    Ramly Mokni pemilik Kumpulan Ramly Burger yang bermula dari sifar sehingga berjaya menjadi produk makanan kebanggaan Malaysia patut dicontohi usahawan generasi muda

    KUCHING, 28 OKTOBER 2021 (SNN) : Bila terdengar sahaja perkataan Ramly pasti akan terbayang akan makanan atau lebih dekat lagi burger yang dijual di tepi jalan jika teringin untuk memakannya. Burger kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita di Malaysia sebagai produk makanan segera atau ‘fastfood’ lebih-lebih lagi penjualan burger kini tumbuh dengan pesat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan kerana dimana-mana kita boleh jumpa peniaga burger ini.

    Ramai peniaga burger di luar sana menjual burger dengan menggunakan produk jenama Ramly ini namun kebanyakannya tidak tahu bagaimana paras rupa dan peribadi pemilik kepada jenama tempatan tersohor iaitu Ramly Burger.

    Sebelum pergi lebih jauh mari kita baca dahulu sejarah awal tertubuhnya syarikat Ramly Burger. Diasaskan pada tahun 1984 oleh Dato’ Haji Ramly Bin Mokni bersama isteri Datin Hajjah Shala Siah Binti Abdul Manap penghasilan produk Ramly Burger tercetus apabila usahawan ini ingin mengeluarkan satu produk yang halal, bersih dan bermutu untuk masyarakat di negara ini.

    Ramly Bin Mokni merupakan seorang tokoh perniagaan yang berasal dari Tanjung Piandang, Perak dan merupakan anak ke lapan daripada 16 adik-beradik. Difahamkan beliau membesar sehingga dewasa di Sekinchan, Selangor dan kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan.

    Kisahnya bermula pada tahun 1978 yang mana padu waktu itu negara kita kecoh dengan isu halal haram berkenaan dengan daging burger. Dari situlah, Ramly Mokni yang bekerja sebagai pemotong daging mula mengambil peluang untuk menghasilkan sendiri dan menjual daging burger dari rumah bersama isterinya. Berbekalkan modal sebanyak RM2,000 pada ketika itu, mereka telah membuat sendiri daging burger secara manual tanpa bantuan apa-apa mesin di rumah mereka di sebuah flat Jalan Haji Hussein, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

    Pada awal perniagaan mereka, penjualan daging burger kurang mendapat sambutan kerana masyarakat ketika itu kurang gemar memakan burger. Namun, usaha Ramly Mokni tidak terhenti disitu sahaja berkat kesabaran dan tidak putus asa beliau tetap teruskan perniagaan dan berjaya membuka gerai burger pertama berdekatan dengan kawasan Chow Kit. Sejak dari itu, permintaan terhadap daging Ramly Burger mula meningkat naik bermula dari 200 keping terjual dalam masa sehari kepada 3,000 keping sehari.

    Menggunakan slogan kata ‘Pastikan Ramly..baru beli’ kini produk tersebut boleh didapati di mana-mana pasaraya atau kedai runcit di seluruh Malaysia.

    CABARAN RAMLY BURGER MEMBANGUNKAN SYARIKAT PERTAMANYA

    Awal tahun 1980, Ramly Bin Mokni berjaya membuka sebuah syarikat pertamanya dan hanya dalam tempoh empat tahun selepas itu mereka berjaya membuka sebuah kilang di Bandar Tun Razak yang mampu menghasilkan kira-kira 10,000 keping daging burger dalam satu hari. Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, cabaran yang paling besar pernah di lalui Ramly Burger sewaktu mula-mula hendak membangun adalah pada saat membuat permohonan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) namun telah ditolak dengan alasan orang Malaysia tidak ramai makan burger akan tetapi pihak Bank Pembangunan pula yang meluluskan permohonan mereka itu. Tidak hanya itu, pada tahun 1987, institusi kewangan juga pernah menolak permohonan pinjaman beliau dan itu tidak menjadi batu penghalang bagi Ramly Burger untuk terus maju ke hadapan.

    Sehingga hari ini, jualan tahunan Ramly Burger hampir mencecah RM1 Billion dan daging yang digunakan untuk sehari bagi menghasilkan pelbagai jenis produk Ramly adalah menghampiri 1.5 tan. Kini, jenama Ramly tidak lagi hanya fokus mengeluarkan produk daging burger akan tetapi produk segera lain seperti sosej, nuget, bebola daging, daging kisar, sos cili dan banyak lagi yang boleh di dapati hampir di kesemua pasaraya.

    Jelasnya, usaha dan kecekalan yang ditunjukkan oleh tokoh pemilik Kumpulan Ramly Burger ini wajar dijadikan contoh oleh setiap usahawan atau peniaga yang hendak mencipta kejayaan. Kejayaan yang beliau kecapi pada hari ini tidaklah datang begitu sahaja melainkan perlu melalui situasi yang sukar untuk dijadikan pembakar semangat untuk terus berusaha sehingga kejayaan itu benar-benar tercapai yang mampu mengubah kehidupan.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Empat lokasi strategik dikenal pasti sebagai titik pengedaran tenaga penting di...

    0
    KUCHING, 26 NOVEMBER 2024: Terdapat empat lokasi strategik telah dikenal pasti yang akan berfungsi sebagai hab pengedaran tenaga penting di Sarawak iaitu Miri, Samalaju,...