SEBUYAU, 16 SEPTEMBER 2024 (SNN): Rakyat Malaysia khususnya di Sarawak diseru supaya mengetahui serta menghayati hak-hak dan undang-undang di Sarawak yang telah warisi sebelum penubuhan negara Malaysia pada 16.09.1963.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, hak-hak dan undang-undang yang masih sah dan terpakai sehingga kini wajib diketahui dan dihayati oleh semua dan pada masa yang sama ianya perlu dihormati oleh semua pihak di negara ini di mana sahaja mereka berada.
Sebagai salah satu wilayah pengasas penubuhan Persekutuan Negara Malaysia, rakyat di Sarawak mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sama penting dengan seluruh rakyat Malaysia lain untuk membangun dan mempertahankan kedaulatan negara Malaysia supaya terus berdiri gagah dan dihormati di persada dunia.
“Sejarah penubuhan negara Malaysia wajar dijadikan sebahagian dari kurikulum semua peringkat sekolah dan universiti supaya rakyat Malaysia khususnya generasi muda dapat mengetahui dan faham latar belakang dan fakta penubuhan negara Malaysia.
“Langkah ini penting supaya tidak timbul persoalan dan berbagai tanda tanya semata-mata kerana buta sejarah tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Sebuyau 2024 di Dewan Pembangunan Sebuyau.
Sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Sebuyau pada tahun ini, aktiviti mengibar Jalur Gemilang terus disemarakkan dengan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri dan ahli keluarga kita.
Selain itu, pendedahan kepada pelajar di peringkat sekolah rendah atau tadika turut memainkan peranan penting dalam menerapkan penghayatan kepada mereka tentang erti kemerdekaan.
Pada kemuncak majlis itu, Dato Sri Julaihi telah melakukan gimik perasmian dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan pertunjukan bunga api.