LAWAS, 02 NOVEMBER 2022 (SNN): Rakyat harus menolak mana-mana politik ekstrim yang sengaja menakut-nakutkan rakyat serta membawa politik kebencian.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) ini kelak kita akan menyaksikan banyak propaganda daripada pembangkang untuk menakutkan dan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan memerintah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar penduduk di Parlimen Lawas bersedia dan tidak terpengaruh propaganda politik menakut-nakutkan rakyat.
“Kita lihat saja nanti, pembangkang akan kembali dengan politik menakutkan rakyat dan memecahbelahkan perpaduan semata-mata untuk meraih sokongan,” katanya pada Program ‘Pemung, Peruyud, Petuuh’ anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS) di Kampung Long Tuan Ulu Trusan.
Awang Tengah yang juga Naib Presiden Parti PBB turut menjelaskan, rakyat tidak dapat bergantung dengan harapan palsu pembangkang yang terbukti gagal membela hak Sarawak sepanjang 22 bulan memerintah di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pada masa sama, pemimpin Sarawak yang berada dalam kabinet PH juga gagal bersuara untuk mendapatkan kelebihan pembangunan Sarawak malah menyebabkan rakyat Sarawak kecewa kerana banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat Sarawak dibatal.
“Sekarang puak-puak ini muncul semula dengan propaganda memecah belah rakyat melalui politik perkauman, agama dan berbagai isu sensitif yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat Sarawak,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, Awang Tengah meminta masyarakat kampung di luar bandar memahami perkara ini demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.
Majlis dihadiri oleh wakil-wakil masyarakat daripada sepanjang Batang Trusan dan Ulu Trusan.
Majlis makan tengahari bersama rakyat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan; Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Kepada Premier; Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pemangku Pengarah UKAS; Samuel Simon, Pengarah NRDA; Datu Ubaidillah Latip, Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok dan wakil-wakil masyarakat daripada sepanjang Batang Trusan serta Ulu Trusan.