KUCHING, 06 DISEMBER 2022 (SNN): Seri Paduka Baginda Raja Permasuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai untuk merasmikan pelancaran Kampung Heritage Trail serta Majlis Santapan Malam pada Isnin.
Ketibaan keberangkatan Raja Permaisuri Agong di Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai itu disambut oleh Isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Jumaani Tun Tuanku Bujang.
Semasa lawatan, Raja Permaisuri Agong berkenan melihat keadaan sekeliling rumah milik Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai.
Selain itu, Baginda turut disajikan dengan upacara persembahan tradisi perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak lama, persembahan tarian dan bergendang (Bermukun) serta menyaksikan pameran jualan-jualan barangan tradisi lama iaitu songket dan keringkam.
Majlis ala klasik itu juga diadakan bertujuan mendedahkan kepada orang ramai berkenaan adat istiadat perkahwinan Melayu zaman dahulu.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi), Datu Dr Sabariah Putit dalam ucapannya semasa program tersebut berkata visi utama Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) adalah untuk menjadikan Old Kuching sebagai Smart Heritage City (Bandar Warisan Pintar).
Jelas beliau, misi OKSHe adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi masyarakat dan meningkatkan kualiti hidup melalui inisiatif warisan pintar.
Tambahnya lagi, objektif OKSHe juga adalah untuk meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat, menjana peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan melindungi serta memelihara produk warisan.
“Peranan OKSHe adalah membina ekosistem yang bersepadu, lestari dan holistik dan pada masa yang sama mengekalkan dan memulihara warisan kita di Sarawak.
“Ianya berlandaskan kepada lima teras yang utama iaitu Infrastruktur Warisan Pintar, Komuniti Pintar Dan Inovasi, Sosio Ekonomi dan Kelestarian Kewangan, Penjenamaan dan Pemantapan dan Pengurusan Strategik dan Tadbir Urus Yang Baik,” katanya.
Berkongsi mengenai Jejak Warisan Kampung kepada Raja Permaisuri Agong, Datu Dr Sabariah berkata kawasan rumah tersebut terdiri daripada perkampungan Melayu yang kaya dengan sejarah dan warisannya tersendiri yang telah wujud sejak zaman Brooke serta terdapat peninggalan tapak warisan yang masih dapat dilihat sehingga kini.
“Rumah Warisan ini dicadangkan sebagai salah satu tarikan tapak warisan di Kampung Nombor kepada pelancong yang berminat dan ingin merasai warisan dan budaya Melayu Sarawak,” jelas beliau.
Katanya, OKSHe bekerjasama dengan individu, agensi dan komuniti termasuk Persatuan Kebangsaaan Melayu Sarawak (PKMS) bagi mengadakan persembahan Kesenian, upacara perkahwinan Melayu Sarawak, kisah sejarah Rumah Warisan, permainan Melayu Tradisional, dan juga produk tradisional daripada masyarakat setempat.
Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Menteri Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Dan Perhubungan Negeri-Persekutuan; Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Isteri Kepada Timbalan Premier Sarawak; Dato Doreen Mayang, Isteri Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datin Amar Baduyah Bujang, Wakil Tuan Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Haji Ahmad Urai; Puan Sri Datin Amar Siti Murniati Abdullah serta tetamu jemputan yang lain.-UKAS.