LAWAS, 23 JANUARI 2024: Pelaksanaan rojek Peacefulness Recreation Park Sundar bagi fasa pertama yang bernilai RM8.5 juta dijangka siap pada April ini menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu dirancang untuk pembinaan zon sukan dan zon sukan ekstrim yang mana ianya merangkumi pembinaan trek untuk jogging, trek basikal, kemudahan surau dan tandas, tempat meletak kereta, kiosk, taman permainan kanak-kanak, kawasan rock climbing, padang memanah, skatepark, kawasan hijau dan kemudahan lain.
“Kita mahu menjadikan taman rekreasi ini seperti taman rekreasi kawasan bandar Lawas. Ada beberapa komponen dari segi perancangan juga dilaksanakan secara berperingkat bagi menarik pelawat daripada luar,” katanya kepada media semasa selepas melakukan lawatan kerja di Pekan Sundar baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, projek pembinaan tebingan sungai di situ akan digabungkan dengan projek menaiktaraf padang dan taman rekreasi.
Hadir sama Pengarah Wilayah NRDA; Dato Ubaidillah Abdul Latip, Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok, Setiausaha Politik Premier Sarawak; Awangku Zainal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Setiausaha Majlis Daerah Lawas; Zulkipli Sahari.-UKAS