PUSA, 04 JUN 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak akan membangunkan Pusat Pentadbiran Pusa yang baharu yang dilengkapi dengan kemudahan teknologi telekomunikasi terkini.
Memetik laporan UKAS, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat pentadbiran baharu itu nanti yang lebih sempurna akan dapat memperhebatkan lagi sektor pembangunan di kawasan Pusa bagi kemudahan masyarakat setempat.
“Kerajaan juga bersetuju untuk membina jalan pesisir yang menghubungkan Pejabat Daerah Pusa baharu yang bernilai RM50 juta. Dengan adanya jalan ini, barulah jalan kawasan perkampungan boleh dibesarkan dengan kemudahan yang ada,” katanya semasa merasmikan Majlis Gawai Raya Peringkat Batang Lupar di Dataran Tandang Sari pada Sabtu.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Nipah dan Apong juga akan membuat kajian penghasilan garam dan gula berasaskan nipah dan apong dalam usaha meningkatkan pendapatan serta mempromosikan produk tempatan kepada pihak luar.
“Sebab itu Kerajaan Tubuh Lembaga Pembangunan Nipah dan Apong, tujuannya untuk membuat kajian dan saya cadangkan untuk mengeluarkan garam apong dan gula apong dan ia dapat menambah nilai kepada industri berasaskan sawit,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Premier Sarawak bersama tetamu jemputan lain turut berkesempatan melawat gerai-gerai yang menyajikan pelbagai juadah makanan tempatan di sekitar dataran tersebut.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abu Nawas dan dif-dif kehormat yang lain.-UKAS