KOTA SAMARAHAN, 14 JANUARI 2022 (SNN) : Jalan persimpangan keluar hingga ke bulatan berhampiran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Kota Samarahan di sini yang mengalami kerosakan baru-baru ini telah siap dibaik pulih sepenuhnya oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dalam satu kenyataan memaklumkan kerja membaik pulih jalan tersebut telah dilaksanakan dengan kadar segera dan berjalan lancar susulan aduan daripada orang ramai berhubung kerosakan jalan berkenaan yang membahayakan pengguna.
Jelasnya, agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) turut diminta untuk melakukan pemantauan keadaan jalan dan segera dibaik pulih sekiranya mengalami kerosakan di masa akan datang.
Jelas beliau, orang ramai turut dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi WhatsApp kepada JKR Sarawak RoadCARE di talian 011-7017177 sekiranya mempunyai aduan mengenai kerosakan jalan.