LIMBANG, 04 JUN 2022 (SNN): Pembangunan fizikal di Limbang semakin ketara apabila pembinaan jalan perhubungan Limbang ke Miri di bawah Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) kini dalam proses pembinaan.
Timbalan Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, seperti yang telah di bentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 lalu, SSLR akan menyambung dari Mulu ke Limbang bagi fasa 2 dan Limbang ke Long Merarap Lawas bagi fasa 3 yang mana akan dimulakan pada tahun 2023.
“Bagi fasa pertama projek ini ianya telah dilaksanakan bermula dari Lawas ke Long Merarap.katanya dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri baru-baru ini.
“Manakala, satu lagi projek Trans Borneo Highway yang menggantikan Pan Borneo Highway daripada CIQ Tedung ke CIQ Pandaruan melibatkan pembesaran jalan yang sedia ada manakala di Lawas pula dari bandar Lawas ke Merapok juga rancak dilaksanakan,” kata beliau dalam sesi ucapan di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang (JTPIL) baru-baru ini.
Datuk Dr Abdul Rahman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Kota turut memberitahu, Northen Region Coastal Highway turut dalam perancangan menjelang tahun 2028-2030 yang akan menampakkan perubahan landskap rangkaian perhubungan jalan di Bahagian Limbang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habinollah dalam ucapannya berharap agar kesatuan dan silaturahim masyarakat Islam di Limbang terpelihara dan mengekalkan perpaduan tanpa memecah belahkan kaum dan agama yang lain.
Jelasnya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi pembinaan sebuah Maahad Tahfiz di daerah Limbang.
Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Limbang; Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang (JTPIL); Superi Awang Said, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang; Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely dan Pemanca; Abu Bakar Tinggal.-UKAS.