SEBUYAU, 14 MAC 2021 (SNN) : Projek Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak berjaya membantu lebih 172 buah kediaman yang perlu dibaiki atau dibina semula.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan Sarawak sentiasa mengambil perhatian terhadap golongan kurang berkemampuan untuk memiliki sebuah kediaman yang selesa dan selamat untuk dihuni. Oleh itu, melalui PPRMS ini telah banyak rumah yang tidak selamat untuk ditinggal telah dibantu serta dibaik pulih.
“Setakat ini kita amat berpuas hati dengan kesemua 172 buah kediaman yang telah siap dibaik pulih dalam tempoh projek yang telah ditetapkan. Saya sendiri mewakili rakyat di DUN Sebuyau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sentiasa melihat dan mendengar keperluan golongan yang memerlukan terutama mereka yang memerlukan sebuah kediaman yang selesa dan selamat,” kata beliau semasa mengadakan lawatan kerja ke atas projek PPRMS di Kampung Seruyuk pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, salah seorang penerima bantuan PPRMS iaitu Sa’adah Mat turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah membantu untuk memulihkan rumahnya dan itu memberikan keselesaan kepada beliau sekeluarga terutama anak-anak yang memerlukan tempat tinggal yang selamat.
Turut hadir mengiringi dalam lawatan adalah Pegawai Tadbir Sebuyau; Ajis Ahmad, Pemanca Daerah Simunjan; Asli Yahya, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebangan; Hamban Esamail dan Ketua Kaum Kampung Seruyuk; Umar Ismail.-SUMBER UKAS.