ASAJAYA, 12 FEBRUARI 2023 (SNN): Kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah di kawasan sekitar Asajaya bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik di kawasan Selatan dijangka siap pada Jun 2023.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, sehubungan itu kualiti bekalan elektrik ke kawasan Asajaya juga akan bertambah baik dengan siapnya penyambungan bekalan melalui kabel elektrik bawah tanah ini.
Menurutnya, pembinaan stesen pencawang Asajaya 33/11kilovot (kV) yang menelan belanja RM15 juta juga adalah bagi memenuhi pertambahan beban di kawasan Asajaya, Beliong, Sadong Jaya dan tempat- tempat sekitarnya, sejajar dengan pembangunan yang pesat di kawasan tersebut.
“Buat masa ini, pencawang Asajaya 33/11kV bersambung dengan pencawang Kota Samarahan B dan akan disambungkan ke pencawang MID 33/11kV melalui talian kabel bawah tanah.
“Tidak seperti talian atas, talian kabel bawah tanah mempunyai keboleharapan lebih tinggi berbanding talian atas yang cenderung terkesan oleh gangguan tumbuh-tumbuhan dan cuaca yang boleh menyebabkan ganguan bekalan elektrik,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke pencawang Asajaya 33/11kV pada Sabtu.
Datuk Julaihi menambah, kerja-kerja penambahbaikan lain kepada pengguna termasuk pelaksanaan pelbagai projek penambahbaikan sistem di kawasan setempat termasuk penambahbaikan sistem 11kV di Tambirat dan Asajaya.
Ujarnya, selain pencawang Asajaya 33/11kV, terdapat projek pembangunan dan perancangan lain untuk menambah baik bekalan kuasa ke Sebuyau dan Simunjan bagi memperkukuhkan lagi rangkaian bekalan elektrik di kawasan Selatan.
Tambahnya lagi, selain pencawang Asajaya terdapat juga perancangan penambahbaikan talian 11kV di stesen pencawang Munggu Lalang 33/11kV.
“Projek pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak termasuk Asajaya telah menambah baik prestasi keseluruhan ‘System Average Interruption Duration Index’ (SAIDI) sebanyak 68 peratus daripada 242 minit kepada 77.93 minit pada tahun 2022.
“Ini bermakna purata gangguan bekalan elektrik pengguna di bawah 80 minit setahun dan kita akan meneruskan usaha bagi memperbaiki kualiti bekalan kepada pengguna melalui perlaksanaan kaedah pengukuran baharu untuk talian panjang luar bandar, Momentary Average Interruption Frequency Index (MAIFI),” jelas beliau.
Ujarnya, kaedah pengukuran MAIFI Indeks kekerapan gangguan purata seketika ini adalah berhubung kait dengan prestasi operasi sistem grid di luar bandar.
Hadir sama ialah kedua-dua Timbalan Menteri di kementerian Utiliti & Telekomunikasi ( MUT); Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri MIPD; Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan; Awla Deris, Setiausaha Tetap MUT; Jafri Lias, VP Sarawak Energy Bhd (SEB); Puan Ngu Piew Choo, Pengarah Elektrik MUT; Syed Fauzi Sahab, Pengurus SEB Wilayah Barat; Nazri Abd Latip, GM Asset SEB; Choo Ming Chung dan Timbalan Residen Bhg Samarahan; Hj Annuar Hj Daan, Jurutera-jurutera SEB/SESCO serta Ketua Masyarakat & Ketua Kaum (KMKK) tempatan.