KOTA SAMARAHAN, 18 JANUARI 2022 (SNN) : Projek Naik Taraf Lima Bulatan di Jalan Samarahan- Kuching Expressway telah diklasifikasikan sebagai salah satu projek ‘sakit’ yang mana pembinaannya sangat lembab serta gagal siap mengikut jadual di negeri ini.
Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Hamzah Brahim dalam sidang media Majlis Simbolik Serah Kunci Medan Selera Unigarden, malam Sabtu.
Menurut beliau lagi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Stakan, projek berkenaan seharusnya dapat disiapkan pada 14 Januari lalu mengikut jadual asal namun, sehingga ke hari ini projek tersebut masih lagi tergendala.
“Saya dimaklumkan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam proses memberi peringatan terakhir kepada pihak kontraktor. Justeru saya yakin dan percaya mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya dalam satu sidang media ringkas.
Tambah Hamzah lagi, beliau telah mengadakan berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat termasuk Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MKPS), JKR, dan lain-lain berhubung isu itu baru-baru ini. Hasil daripada perbincangan tersebut katanya, pihak JKR dan kontraktor telah melihat benda ini sebagai isu yang perlu diambil serius.
Dalam majlis yang sama, Hamzah turut menzahirkan syabas dan tahniah kepada MPKS dan persatuan yang terlibat kerana telah menyediakan kemudahan serta ruang untuk penjaja di kawasan Stakan berniaga.
“Semoga dengan kemudahan yang telah disediakan itu dapat membantu mereka yang meniaga menjana ekonomi selain memudahkan orang awam yang tinggal di kawasan sekitarnya dapat menjamu selera dengan selesa,” tegasnya.