KUCHING, 06 MEI 2021 (SNN) : Projek Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak yang menghubungkan Sejingkat dengan Tanjung Bako yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 kelak akan mengatasi kesesakan jalan Kuching-Samarahan Expressway.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, pembinaan jambatan berkenaan akan merangkumi tiga pakej utama yang akan digabungkan menjadi Kuching Samarahan Expressway Kedua.
“Pakej pertama iaitu 3DA melibatkan pembinaan jambatan menyeberangi sungai Sarawak sepanjang 1.3 Kilometer (jambatan sahaja) manakala Pakej 3DB adalah projek menaiktaraf jalan yang kita masuk tadi (Jalan Tanjung Bako).
“Pakej seterusnya adalah melibatkan pembinaan jalan baru menuju ke Jambatan Batang Samarahan,” kata beliau selepas hadir membuat tinjauan ke tapak projek berkenaan pada Khamis.
Jelasnya, pelaksanaan jambatan yang mengambil masa selama 4 tahun itu menelan kos keseluruhannya sebanyak RM370 juta dan ini merupakan usaha kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat dan urusan seharian berjalan lancar.