LAWAS, 17 MAC 2022 (SNN) : Projek pembinaan tapak gantian penuh Sekolah Kebangsaan (SK) Awat-Awat, Lawas yang telahpun mencapai 97 peratus siap dan kini hanya tinggal kerja-kerja memasang bekalan elektrik dijangka siap sepenuhnya pada April ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Aidel Lariwoo berkata, biarpun pembinaannya mengalami sedikit kelewatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekurangan bahan binaan serta pekerja, namun pembinaannya tetap diteruskan dan pencapaian terkini sangat memuaskan.
“Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan yang telah siap sepenuhnya adalah meliputi blok pentadbiran, akademik, tandas, prasekolah, 8 unit rumah guru, pondok pengawal, bangsal basikal, depo sampah, rumah pam, tangki air, bilik komputer, makmal dan pemasangan perabot.
“Setakat ini kita amat berpuas hati dengan kualiti dan kemajuan progress pembinaan ini yang menepati jangkaan awal walaupun berhadapan dengan pandemik COVID-19 dengan banyak halangan dari segi bahan-bahan binaan dan tenaga kerja,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Awat-Awat pada Rabu.
Ujarnya lagi, apabila projek ini siap sepenuhnya pada April 2022 ini sudah pasti akan memberi suasana pembelajaran yang lebih selesa dan selamat bagi pelajar dan guru sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.
Turut hadir sama Penolong Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang; Mahathir Jokeni dan Jurutera JKR Daerah Lawas; Lee Teck Kiu.-UKAS.