LIMBANG, 06 JUN 2024: Salah satu projek yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Limbang iaitu Dataran Bandar Limbang bakal siap pada penghujung bulan ini di mana ia merupakan projek pelengkap bagi kemudahan asas di bandar ini terutamanya untuk kawasan rekreasi dan tempat meletak kenderaan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Projek Dataran Bandar Limbang di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan kos RM3 juta itu sepatutnya siap pada penghujung tahun lepas tetapi mengalami kelewatan atas sebab tertentu.
“Sekarang projek ini hampir siap dan pihak kontraktor memberi jaminan akan siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini, bermakna masyarakat akan dapat menggunakan kawasan ini pada awal Julai nanti.
“Projek ini terdiri daripada beberapa skop antaranya adalah trek joging, ada juga ‘grandstand’ untuk melihat perlawanan bola sepak dan ada kawasan lapang untuk pelbagai guna dengan keutamaannya adalah untuk parkir kereta,” katanya semasa melakukan lawatan ke tapak projek Dataran Bandar Limbang dan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) menaik taraf Surau Al-Muqarrabin Kampung Nauran di Limbang pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menambah, hanya 176 lot parkir kereta dibina daripada jumlah asal iaitu sebanyak 300 lot disebabkan kekangan kos.
“InsyaAllah kita akan memohon peruntukan tambahan untuk fasa kedua untuk melengkapkan sasaran awal kita sebanyak 300 lot parkir kereta,” ujarnya.
Beliau berharap projek tersebut dapat menangani masalah kekurangan tempat meletak kenderaan yang selalu dihadapi di bandar Limbang disebabkan pembangunan dan kemasukan rakyat negara Brunei pada hujung minggu.
Selepas melawat tapak Projek Dataran Bandar Limbang, Datuk Dr Rahman Ismail meneruskan lawatan ke tapak Projek RTP Naik Taraf Surau Al-Muqarrabin Kampung Nauran.
Difahamkan, skop kerja naik taraf surau tersebut melibatkan penambahan tempat meletak kenderaan dan perparitan dengan kos sebanyak RM100,000 yang dilaksanakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang.-UKAS